145 Ketua UMNO Bahagian Desak Perdana Menteri Laksana Titah Addendum

KUALA LUMPUR, – Seramai 145 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara malam ini berhimpun dalam satu pertemuan tertutup di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur bagi menyatakan pendirian tegas dan sebulat suara mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera melaksanakan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Pertemuan yang berlangsung atas inisiatif bersama Ketua-Ketua Bahagian UMNO itu dilihat sebagai isyarat paling jelas setakat ini bahawa akar umbi parti mendesak penyelesaian segera berhubung isu penempatan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menurut kenyataan bersama yang diedarkan selepas mesyuarat itu, para pemimpin UMNO Bahagian menyifatkan kelewatan pelaksanaan Titah Addendum yang membenarkan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sebagai suatu tindakan mencemar prinsip keadilan dan penghormatan kepada Institusi Diraja.

“Perjumpaan ini adalah sebagai respons terhadap kenyataan Setiausaha Agung UMNO bertarikh 11 Julai 2025 serta tindakan pihak tertentu yang cuba menyembunyikan kewujudan titah tersebut daripada pengetahuan umum dan institusi kehakiman,” kata Datuk Shafie Abdullah, Ketua UMNO Wangsa Maju dalam kenyataan bertulis dan sidang media.

Mereka turut menegaskan bahawa kewujudan Titah Addendum bukan lagi isu yang boleh dipertikai.

Ini berikutan pengesahan rasmi Istana Pahang melalui surat bertarikh 4 Januari 2025, dan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 6 Januari 2025 yang menyatakan bahawa titah tersebut sah serta mempunyai asas perundangan yang kukuh.

“Tindakan menyembunyikan titah ini adalah pelanggaran terhadap prinsip ketelusan (transparency) dan kebertanggungjawaban (accountability) dalam pentadbiran undang-undang,” ujar kenyataan itu lagi.

Lebih keras, Ketua-Ketua Bahagian menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 serta Institusi Raja-Raja Melayu keseluruhannya.

Susulan itu, tiga ketetapan utama telah dipersetujui oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang hadir malam ini:

1.Mendesak Perdana Menteri mengambil tanggungjawab penuh untuk segera melaksanakan Titah Addendum dan membenarkan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sebagaimana yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

2.Menuntut agar Peguam Negara menarik balik rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025 yang mengesahkan kesahan Titah Addendum tersebut. Mereka menegaskan bahawa sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, Peguam Negara seharusnya menjunjung titah Raja, bukan menghalangnya.

3.Mencadangkan agar semua UMNO Bahagian yang belum bersidang membawa usul khas dalam persidangan masing-masing bagi mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu dan menegakkan prinsip keadilan.

Usul ini juga dilihat sebagai ujian terhadap kesepakatan dan solidariti parti dalam isu melibatkan Institusi Diraja.

Ketua-Ketua Bahagian turut menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar membabitkan nasib seorang individu, tetapi berkait rapat dengan soal kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada Institusi Diraja dan prinsip keadilan yang wajib dipertahankan bersama.

“Ini bukan isu peribadi. Ini adalah soal menghormati sistem berperlembagaan kita yang berasaskan Raja Berperlembagaan dan prinsip keadilan. Sikap membisu atau berdolak-dalik bukan lagi satu pilihan,” tegas mereka dalam kenyataan tersebut.

Pertemuan malam ini turut dijangka mencetuskan gelombang baharu dalam landskap politik dalaman UMNO dan hubungan parti itu dengan Kerajaan Perpaduan, khususnya dalam isu melibatkan kedudukan institusi kehakiman dan peranan Peguam Negara.- SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat