Anak Perlis, Azry Haikal raih ‘Anugerah Pengarah’ Konvokesyen POLIMAS buktikan TVET landasan kejayaan

Oleh Zihan Zari

JITRA – Berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh, pasti akan membuahkan hasil yang baik sepertimana ungkapan ‘Usaha Tidak Pernah Mengkhianati Hasil ’

Ungkapan inilah menjadi prinsip hidup buat Azry Haikal Arizal, anak muda kelahiran Kangar, Perlis sehingga berjaya dinobatkan sebagai penerima ‘Anugerah Pengarah’ sempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-37 Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dekat sini, baru-baru ini.

Azry Haikal, 22, graduan Diploma Seni Bina, bukan sahaja mencatat pencapaian cemerlang dalam akademik, malah turut menyerlah dalam pelbagai pertandingan dan aktiviti kemahiran sepanjang tiga tahun pengajiannya di POLIMAS.

Azry Haikal, anak sulung daripada empat adik-beradik, menanamkan azam terus berusaha dan tidak menyerah kalah dalam mencapai cita-citanya, menzahirkan rasa syukur atas pencapaiannya.

“Syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmatNYA dan saya sangat bangga dengan apa yang telah dicapai di POLIMAS dan ingin merakamkan penghargaan buat semua pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan,” katanya dengan penuh semangat.

Kini, Azry Haikal sedang menimba pengalaman sebagai Technical Assistance di Firma TGM Architect, Kangar telah menyimpan hasrat besar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi mengejar cita-citanya menjadi seorang arkitek yang berwibawa dan terkemuka negara.

Sepanjang pengajian, beliau pernah menerima Anugerah Apresiasi TVET POLYCC Zon Utara 2024 (Kategori Pelajar), muncul johan ‘National TVET Building Information Modelling (BIM) Competition’ 2024 dan meraih tempat ketiga dalam PolySkills (kategori Digital Construction).

Beliau turut menyertai Pra Kelayakan World Skills, sekaligus meletakkan namanya sebagai antara ikon TVET yang wajar dicontohi.

Kejayaan Azry Haikal pastinya membahagiakan kedua ibu bapanya.
Bapanya, Arizal Abdullah, seorang pegawai kesihatan berkata amat bersyukur dan berbangga dengan pencapaian Azry. Ia hasil usaha gigih dan kesungguhan anaknya.

Manakala ibunya, Mariana Muda, seorang jururawat, berharap pencapaian Azry menjadi inspirasi kepada adik-beradiknya yang lain.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dato’ Dr. Mohd Zahari Ismail menegaskan komitmen PolyCC dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan berciri keusahawanan.

Menurut beliau, sebanyak 119 inkubator keusahawanan melibatkan 476 pelajar telah dibangunkan pada 2024 dengan rekod jualan menghampiri sebanyak RM800,000.

“Kadar kebolehpasaran graduan juga sangat membanggakan, mencecah 98.8%, hasil kerjasama dengan hampir 20,000 industri di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris menekankan bahawa tema konvokesyen tahun ini, ‘TVET PolyCC Aspirasi Madani’, menyokong misi untuk membentuk graduan yang bukan sahaja celik teknologi, malah berjiwa rakyat dan bersikap profesional.

Katanya, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hari ini bukan lagi laluan kedua, sebaliknya adalah landasan utama dalam membentuk masa depan.

“Graduan POLIMAS seperti Azry Haikal adalah bukti bahawa TVET mampu melahirkan insan holistik dan mampu menyumbang secara aktif kepada negara.

“Kejayaan Azry Haikal merupakan simbol bahawa TVET bukan sekadar pendidikan teknikal, tetapi jalan menuju impian yang gemilang.

“Cerita beliau membuka mata masyarakat bahawa setiap pelajar mampu berjaya, asalkan tidak pernah berhenti berusaha, ”katanya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat