KUALA LUMPUR – Pas diingatkan berwaspada menunggang isu polemik badan kehakiman agar tidak nampak kurang cerdik.
Ahli Parlimen Pandan itu membidas pembangkang kononnya blok itu hanya berminat untuk tebuk atap supaya mereka boleh jadi menteri semula.
“Dalam masa seminggu, Pas ada tiga pendirian berbeza mengenai kemelut badan kehakiman yang menjadi tumpuan masyarakat.
“Memang susah untuk tidak menunggang kalau satu-satunya strategi politik yang ada adalah menunggang.
” Tapi hati-hati, kalau Pas salah tunggang, nanti nampak bangang,” tempelak bekas Menteri Ekonomi itu.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR memperincikan isu badan kehakiman yang dimainkan Pas.
“Mula-mula, (Datuk Seri) Tuan Ibrahim Tuan Man menetapkan syarat saya kena turun himpunan mereka sebelum Ahli Parlimen PN menyokong syor saya agar satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan mengenai campur tangan dalam badan kehakiman.
“Selepas kena kecam dengan rakyat, Fadhli Shaari pula sebut itu bukan pendirian Pas. Pas sebenarnya menyokong cadangan saya.
Sehari selepas itu, (Datuk Seri) Takiyuddin Hassan pusing lagi kata pembangkang menolak cadangan itu, dalam seminggu, Pas berubah pendirian tiga kali.
“Ini mirip kepada kebolehan Pas menjatuhkan hukuman yang berbeza-beza mengikut keadaan, asalkan boleh tunggang,” dakwa Rafizi.
Tegas beliau, isu kebebasan badan kehakiman ini sepatutnya diberi perhatian oleh semua pihak tanpa mengira laba politik.
“Akhirnya, yang lebih lantang bersuara adalah backbencher kerajaan sebab pembangkang hanya berminat untuk tebuk atap supaya mereka boleh jadi menteri balik,” katanya.



