“Kami bukan mahu sabotaj, ini amaran awal” – Rafizi desak hakim dipertikai tidak dilantik

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan Pakatan Harapan (PH) bakal menerima kesan buruk jika terus mengabaikan suara rakyat berhubung isu pelantikan hakim yang mencetuskan kontroversi.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, jika tidak ditangani segera, ia bukan sahaja menjejaskan PH tetapi juga merosakkan kepercayaan rakyat terhadap proses reformasi negara.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, tanggungjawab kini terletak pada tiga pihak utama iaitu Perdana Menteri, parti-parti komponen dalam PH (PKR, DAP, Amanah) dan ahli-ahli Parlimen backbenchers untuk mengambil tindakan yang betul.

“Banyak perkara tidak dapat dibangkitkan sebelum ini kerana wujudnya tanggungjawab kolektif dan kekangan seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA). Tapi kini, semuanya sudah terbongkar.

“Langkah paling mudah buat masa ini adalah tidak meneruskan proses pelantikan yang dipertikaikan, bagi meredakan keadaan.

“Apabila tidak diteruskan, keadaan akan reda. Kemudian, kita boleh bincang isu berkaitan Perlembagaan secara terbuka termasuk peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim,” katanya dalam Forum Awam: Integriti Kehakiman di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, semalam.

Ujar Rafizi lagi, kalau mereka tidak bersuara dan isu ini tidak ditangani dengan baik, kesannya kepada PH akan menjadi lebih buruk.

Tegas Ahli Parlimen Pandan itu, kesan kepada negara juga lebih besar kerana rakyat yang sebelum ini percaya negara ini ada peluang untuk berubah akan hilang keyakinan.

“Kalau PH kalah selepas ini (pilihan raya) dan Gobind Singh Deo (Pengerusi DAP) mahu bercakap soal kebebasan kehakiman, siapa akan dengar? Tiada siapa peduli. Sebab itu lebih baik kami sebagai backbenchers bangkitkan isu ini awal-awal,” katanya.

Minggu lalu, Rafizi bersama lapan ahli Parlimen PKR lain mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan hakim.

Rafizi menggesa agar individu yang sedang dipersoalkan dalam proses pelantikan kehakiman dikeluarkan terlebih dahulu dan disiasat secara telus sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kalau ada seorang hakim yang dipersoalkan, keluarkan dia daripada pencalonan. Siasat dulu, dakwa jika perlu. Itu langkah yang betul,” katanya.

Pada masa sama Rafizi turut menyuarakan kebimbangannya sekiranya kerajaan memilih untuk tidak mendengar amaran awal daripada sembilan ahli Parlimen PKR yang membawa isu tersebut.

“Kami bukan mahu sabotaj. Ini amaran awal. Lebih baik dengar suara kami yang lama dalam perjuangan ini, daripada cuba melindungi Perdana Menteri secara politik.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memerlukan perlindungan politik. Beliau hanya perlu buat perkara yang betul,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat