Oleh Zihan Zari
KOTA KUALA MUDA – Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Kedah berjaya menahan empat buah bot pukat tunda Zon C kerana menceroboh perairan pesisir pantai dalam satu operasi khas baru-baru ini berhampiran Pulau Sayak dekat sini.
Pengarahnya, Sukri Deris berkata dalam operasi tersebut, seramai 4 nelayan tempatan dan 12 nelayan warga Thailand diberkas oleh enam anggota dari Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (KOPP) Langkawi.
Menurut beliau, bot-bot tersebut dikesan beroperasi antara jarak 1.8 hingga 6.3 batu nautika dari daratan atau pulau terdekat, telah melanggar syarat bagi kawasan penangkapan ikan yang ditetapkan.
Menurutnya lagi, dianggarkan nilai sitaan bagi keempat-empat bot dan peralatan menangkap ikan mencecah RM2 juta dan hasil tangkapan ikan turut dirampas.
“Kesemua tangkapan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Pejabat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kedah untuk tindakan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, yang memperuntukkan kesalahan menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika dari pantai, ”katanya.
“Kepentingan mematuhi peraturan penangkapan ikan dan mengingatkan nelayan agar tidak menceroboh kawasan berhampiran pantai.
“Tindakan pencerobohan ini boleh mengakibatkan penurunan drastik sumber perikanan di perairan pesisir pantai, terutamanya apabila anak-anak ikan terperangkap dalam pukat tunda, ”katanya lagi.
Jelasnya, kawasan pesisir pantai adalah kawasan nurseri penting bagi tumbesaran anak-anak ikan pelbagai spesies marin.
“Kegiatan pencerobohan ini akan menjejaskan usaha jabatan dalam memastikan sumber perikanan negeri sentiasa terpelihara dan diuruskan secara mampan, ”jelasnya lagi. – SUARA.TV



