Pengguna keliru, alat dibenar sebelum ini tiba-tiba dirampas – Lapangan Terbang Malaysia dituduh tidak konsisten dan cuai

SUBANG, – Seorang penumpang penerbangan domestik mendakwa telah mengalami layanan tidak konsisten dan mengelirukan daripada anggota keselamatan lapangan terbang, apabila sebuah alat pemotong kayu sugi miliknya yang telah dibawa naik pesawat berkali-kali sebelum ini, dirampas oleh anggota Polis Bantuan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) semalam.

Kejadian berlaku antara jam 5 hingga 5.30 petang pada 12 Julai, ketika Faisal Rohban dalam penerbangan Batik Air dari Subang ke Kota Bharu. Dalam satu catatan yang dimuat naik di media sosial, beliau mempersoalkan tindakan anggota keselamatan wanita berpangkat sarjan yang mengambil alat tersebut dan menyimpannya dalam kotak rampasan tanpa justifikasi yang jelas.

“Saya benar-benar terkejut kerana sudah dua tahun saya bawa alat itu ke pelbagai destinasi dalam bagasi tangan saya termasuk Tawau, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur tanpa sebarang masalah,” katanya.

Alat yang dipersoalkan merupakan pemotong kayu sugi berbentuk oval yang dibelinya di Mekah dua tahun lalu. Ia diperbuat daripada aluminium dan menurut Faisal, tidak menyerupai senjata atau objek tajam, sebaliknya lebih mirip kepada pengasah pensel atau pengepit kuku.

Beliau turut menyatakan bahawa pemeriksaan di laman web Malaysia Airports dan syarikat penerbangan tidak menemui sebarang peraturan yang menghalang alat seumpama itu. Malah, poster larangan barangan di lapangan terbang tidak menyenaraikan alat berkenaan sebagai barang terlarang.

“Maknanya apa? Saya telah diperiksa oleh puluhan Polis Bantuan MAB sebelum ini. Adakah mereka semua cuai dalam tugas?” soalnya, menyindir bahawa jika benar alat tersebut berbahaya, maka sistem keselamatan udara negara berada dalam risiko besar.

Beliau turut menyarankan agar anggota polis wanita yang merampas alat tersebut diberikan anugerah khas kerana menjadi satu-satunya individu yang ‘menyedari’ risiko alat itu satu sindiran terhadap ketidakkonsistenan pelaksanaan prosedur keselamatan.

Insiden ini mencetuskan persoalan lebih besar mengenai standardisasi dan latihan anggota keselamatan lapangan terbang di seluruh negara, khususnya dalam konteks pemantauan barangan yang dibenarkan dalam kabin pesawat. Faisal menegaskan bahawa semua pemeriksaan yang dilaluinya selama ini dikendalikan oleh anggota Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAB), yang memiliki kuasa keselamatan eksklusif di kebanyakan lapangan terbang utama negara.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak Malaysia Airports atau Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berhubung insiden ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat