Zahid mohon maaf terlanjur guna perkataan malaikat

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akui kesilapan dan sekali gus memohon ampun daripada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata beliau sebelum ini.

Presiden Umno itu pada Sabtu mendakwa Umno memerlukan ahli yang setia kepada parti dan tidak lari apabila diuji termasuk apabila tidak lagi menjadi kerajaan.

“Saya dan ramai pemimpin diuji. Kalau malaikat pun dijadikan Presiden Umno ketika itu, mungkin dia pun lari (pada sebelah) malam. Tapi rakyat tetap pertahan Umno. Kita tak perlukan orang bijaksana tetapi hanya menyusahkan.

“Kita tidak perlu orang kaya tetapi menghabiskan. Kita hanya mahukan ahli yang amanah dan taat setia kepada parti,” dakwanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja.

Susulan ucapan itu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau menerima setiap teguran dengan hati terbuka.

“Beberapa hari ini, telah tular sebuah video yang mengaitkan ucapan saya menyatakan satu perumpamaan tentang malaikat yang diungkapkan dalam konteks tekanan yang saya hadapi ketika memegang amanah sebagai Presiden Umno.

“Hakikatnya, kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi, sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin. Namun saya akui, perbandingan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir.

“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini.

“Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri, dan belajar daripada kesilapan,” ujar Zahid dalam kenyataan pada Selasa.

Dengan penuh keinsafan Zahid berharap mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat