Lebih 10 pintu sempadan Sabah-Kalimantan akan dibuka libatkan peruntukan RM1bilion

KUALA LUMPUR – Lebih 10 pintu masuk akan dibuka di sepanjang sempadan Sabah ke Kalimantan, Indonesia dengan peruntukan RM1 bilion.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata pembukaan pintu masuk baharu antara kedua-dua negara itu dijangka memberi gambaran jelas mengenai masa depan mobiliti rakyat, pergerakan barangan serta limpahan manfaat ekonomi kepada kedua-dua pihak.

“Kita kini ke arah mempersiapkan pembukaan pintu masuk baharu yang sudah dikenal pasti melalui perbincangan dua hala.

“Keutamaan kini adalah Laluan Serudong-Simanggaris yang hanya memerlukan beberapa lagi penyelesaian formaliti bersama pihak Indonesia,” katanya lapor BH pada Selasa.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, dua jajaran baharu sempadan Sabah ke Kalimantan, Indonesia bakal dibina iaitu dari Kalabakan ke Sempadan Malaysia – Indonesia (Simanggaris) dan Pekan Pagalungan ke Pekan Sempadan Bantul, daerah Pensiangan, Sabah.

Katanya, status semasa cadangan itu pada ketika ini masing-masing pada tahap kerja di lapangan seperti kerja ukur tanah serta dalam proses perolehan.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, persediaan rapi sedang dibuat merangkumi pelbagai agensi berkaitan termasuk untuk melengkapkan infrastruktur jalan masuk serta komunikasi bagi memastikan kemudahan asas seperti pencawang dapat disediakan.

“Tanpa liputan komunikasi yang baik, bagaimana operasi di Jabatan Imigresen dapat berjalan lancar? KDN pula bertanggungjawab untuk melengkapkan kompleks Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di pintu masuk berkenaan,” katanya.

Projek itu membabitkan kawasan sempadan negara yang panjang melebihi 300 kilometer dengan akses utama ketika ini adalah dengan melalui jalan darat, sungai dan udara.

“Justeru, KDN akan terus menjadi agensi yang akan melengkapi idea besar dasar negara ke arah merealisasikan matlamat berkenaan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat