PN tuntut kerajaan dedah butir pembangunan bersama Ambalat dan dokumen Triti Sulawesi, rakyat berhak tahu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menuntut kerajaan mendedahkan butir-butir mengenai pembangunan bersama di Ambalat dan dokumen Triti Sulawesi dibahaskan di Parlimen kerana rakyat berhak tahu kedudukan sebenar isu ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, kedaulatan dan kepentingan Malaysia ke atas segenap inci wilayah negara, khususnya di kawasan maritim strategik di Blok Ambalat yang kaya dengan simpanan minyak serta gas asli, wajib dipertegas dan dipertahankan.

“Langkah membuat pembangunan bersama (joint development) secara tergesa-gesa, ketika wilayah kedaulatan maritim negara dituntut negara luar boleh menjerumuskan kepentingan nasional dalam keadaan samar.

“Lebih menimbulkan persoalan, pengumuman pembangunan bersama di Ambalat ini dilihat berbeza dengan beberapa siri jawapan Perdana Menteri termasuk ketika isu mengenai Triti Sulawesi dan Ambalat dibangkitkan di Parlimen.

“Sehubungan itu, Perikatan Nasional menuntut butir-butir mengenai pembangunan bersama di Ambalat dan dokumen Triti Sulawesi dibahaskan di Parlimen kerana rakyat berhak tahu kedudukan sebenar isu ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim Malaysia dan Indonesia di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.

Pada sidang media di Istana Merdeka di Jakarta, Anwar berkata kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau nampaknya masih buntu sedikit perundingan dari segi hukum, peraturan dan undang-undang, maka tidak ada halangan untuk kita segerakan kerjasama ekonomi termasuk yang disinggung (Prabawo) tadi mengenai joint development authority.

“Kalaupun di kawasan Ambalat, kerana kalau kita tunggu selesai kadang mungkin mengambil masa dua dekad lagi. Jadi kita manfaatkan waktu ini untuk mendapat hasil supaya memberi keuntungan kepada kedua-dua negara dan membela nasib rakyat kita di kawasan yang agak jauh di perbatasan,” kata Anwar.

Perdana Menteri mengulas kenyataan Prabowo agar kedua-dua negara mempercepat penyelesaian isu-isu teknikal berkaitan sempadanan dan maritim.

“Terkait isu perbatasan, yang secara teknikal mungkin memerlukan waktu, kita sepakat untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan. Contohnya ialah wilayah Ambalat, sambil menunggu penyelesaian hukum, kita ingin memulakan kerja sama ekonomi melalui mekanisme pembangunan bersama,” kata Prabowo.

Kedua-dua pemimpin turut menyatakan komitmen meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan pendidikan, kebudayaan, perdagangan dan pelaburan dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ekoran tarif yang dikenakan Amerika Syarikat.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat