KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang memegang mandat pembangunan Bumiputera mesti terus menjadi pemacu dasar dan pelaksana utama inisiatif kerajaan, khususnya menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang telah pun dilancarkan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) perlu menggandakan usaha meningkatkan tahap celik pelaburan dalam kalangan masyarakat, khususnya Bumiputera.
“Pagi ini saya mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera bagi meneliti prestasi semasa syarikat-syarikat di bawahnya.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, saya tegaskan keperluan untuk kita terus memperkukuh daya saing ekonomi domestik serta menjamin pulangan mampan kepada para pemegang unit amanah.
“Justeru, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) perlu menggandakan usaha meningkatkan tahap celik pelaburan dalam kalangan masyarakat, khususnya Bumiputera.
“Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula harus kekal komited memperkasa usahawan Bumiputera melalui akses kepada pembiayaan serta sokongan peningkatan kapasiti dan keupayaan perniagaan,” tegas Perdana Menteri.