KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein tokoh nasional yang memiliki rangkaian hubungan politik dan pengalaman pentadbiran yang luas faktor penting yang boleh membantu Umno menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dengan lebih bersedia, tersusun dan diyakini rakyat.
Justeru, Wanita Umno Johor percaya masa depan parti hanya boleh dipertahankan melalui perpaduan dan penglibatan semula semua aset politik parti.
“Ini bukan masa untuk menyisihkan, tetapi masa untuk menggembleng kekuatan. Tindakan untuk menyatukan kembali tokoh-tokoh penting seperti Hishammuddin adalah langkah ke hadapan untuk memastikan kemenangan Umno dalam pilihan raya akan datang.
Hishammuddin telah membuktikan kemampuannya sebagai pemimpin yang berwibawa, berpengaruh dan strategik. Di bawah pimpinan beliau, Umno bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong, malah menang semua kerusi DUN dalam kawasan tersebut dalam PRU yang lalu satu pencapaian luar biasa yang tidak boleh dipandang ringan dalam konteks landskap politik semasa.
“Sehubungan itu, Wanita Umno Johor mendesak agar pucuk pimpinan parti memberikan pertimbangan serius terhadap usul ini demi kelangsungan dan masa depan Umno yang lebih kuat, inklusif dan bersatu,” gesa Ketua Wanita Umno Johor Asiah Md Ariff.
Menurut beliau lagi, Wanita Umno Johor menyatakan sokongan penuh dan senada dengan pendirian Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam menyokong usul untuk menarik balik penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin.
“Sokongan ini bukan bersifat peribadi, tetapi didorong oleh pertimbangan strategik dan kepentingan parti menjelang PRU-16.
“Umno kini berada di persimpangan yang memerlukan kebijaksanaan, pengalaman dan perpaduan seluruh tenaga dalam parti termasuk tokoh-tokoh yang terbukti berkesan di medan perjuangan politik,” tegasnya.