KUALA LUMPUR – Tugas kerajaan adalah meringankan beban rakyat, bukan menambah beban mereka dan jika perkara yang paling asas ini pun tidak dapat dilaksanakan, maka Kerajaan Madani telah gagal dan wajar ditolak oleh rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau percaya Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam bentuk yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini adalah lebih buruk kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara berbanding dasar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
“Rakyat dibebankan lagi dengan peluasan cukai SST. Daripada 8,094 barangan yang dikecualikan daripada SST sebelum ini, hanya 1,813 barangan sahaja yang masih dikecualikan.
“Lebih 90 peratus barangan telah dikenakan SST. Ini termasuk barangan keperluan asas seperti gula, garam, ikan, sayur dan buah-buahan. Apakah sebenarnya dasar cukai kerajaan Madani?
“Kononnya kerajaan Madani hanya mengenakan cukai ke atas golongan maha kaya dan mengagihkannya semula kepada golongan miskin seperti “Robin Hood” hanyalah sandiwara. Ia ternyata suatu pembohongan.
“Buah epal, pisang dan oren pun dikenakan cukai. Ini bukan makanan orang kaya. Ia sejak zaman berzaman adalah makanan rakyat biasa. Mencekik darah rakyat biasa menerusi cukai yang tidak masuk akal semata-mata untuk menambah hasil kerajaan sebanyak RM10 bilion tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.
“Ke manakah hasil RM10 bilion ini akan dibelanjakan? Kenapa kerajaan tidak menunggu pelaksanaan peluasan skop SST sehingga pembentangan Bajet 2026 supaya ahli-ahli parlimen boleh membahaskan rasional peluasan cukai ini? soal Presiden Bersatu itu lagi.
Ahli Parlimen Pagoh berkata, rakyat baru sahaja dibebankan dengan penghapusan subsidi diesel dan kenaikan kadar SST pada tahun lalu.
“Kini rakyat dibebankan lagi dengan cadangan kenaikan tarif elektrik dan peluasan skop SST. Selepas ini pelarasan subsidi RON95 pula akan dilaksanakan.
“Walaupun dikatakan bersasar, kesan kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup akibat peluasan skop cukai dan penghapusan subsidi akan dirasai oleh seluruh rakyat. Kesan bertimpa-timpa ini akan menyeksakan rakyat di peringkat bawah dan pertengahan yang merupakan 85 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.
“Ini adalah petanda bahawa kerajaan gagal mengurus ekonomi dengan baik. Apabila ekonomi tidak diurus dengan baik, hasil negara berkurang,” ujar bekas Perdana Menteri itu lagi.
Dalam keadaan ini katanya, kerajaan menjadi seperti lintah yang setiap hari menghisap darah rakyat dengan mengenakan pelbagai cukai selain menghapuskan subsidi. Ini bukanlah sebuah kerajaan yang cekap dan prihatin kepada rakyat.
“Saya menggesa supaya peluasan skop SST dan cadangan kenaikan tarif elektrik dibatalkan. Kerajaan mesti mencari kaedah lain untuk mengatasi masalah fiskal negara, bukan dengan berterusan membebankan rakyat.
“Berkaitan kenaikan tarif elektrik, TNB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.04 bilion pada suku pertama tahun ini iaitu kenaikan sebanyak 53.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Saya fikir sudah sampai masanya kerajaan mengkaji sama ada GST dengan kadar yang munasabah serta tidak membebankan rakyat dipertimbangkan semula selepas mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh.
“Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, GST yang saya maksudkan ialah Goods and Services Tax bukan General Services Tax. Saya tidak pasti bagaimana Perdana Menteri boleh terkeliru antara keduanya,” kata Muhyiddin.