KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menyesuaikan dasarnya, mempunyai institusi kukuh dan mengekalkan hala tuju jelas untuk mencapai matlamat menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerangka Ekonomi Madani mencerminkan visi negara untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan menggambarkan komitmen dua hala.
“Pertama, dasar perindustrian perlu dimodenkan, menumpukan kepada daya saing sektoral, transformasi digital, pertumbuhan hijau dan peningkatan rantaian nilai.
“Kedua, manfaat daripada pengembangan ekonomi perlu menyeluruh terutamanya bagi segmen masyarakat rentan dan kurang mendapat perhatian,” kata Menteri Kewangan itu dalam ucaptama di Simposium Sasana 2025 pada Selasa.
Menurut Anwar agenda reformasi Madani mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara memandangkan negara mengutamakan lima bidang kritikal iaitu kemampanan dan tadbir urus fiskal, rasionalisasi subsidi, pembaharuan cukai, peningkatan modal insan dan integriti institusi.