KUALA LUMPUR – Bukan hanya Malaysia sahaja yang bersifat madani, malah termasuk dunia lain juga tabiinya bermadani, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Pun begitu Hadi berkata, masalahnya ialah ‘Malaysia Madani’ dijadikan slogan untuk membodohkan dan menipu dengan kefahaman yang sempit tanpa ilmu, di samping hanya sekadar menipu tanpa haluan dan petunjuk.
“Slogan itu juga disempitkan sekadar secebis bumi kecil Malaysia di dalam dunia yang luas, menjadikan rakyat laksana katak di bawah tempurung.
“Islam menetapkan hala tuju madaninya berdasarkan takrif Islam sebagai al-din, bukan sekadar agama sahaja dalam bahasa lain. Hanya Islam satu-satunya jalan dan menolak segala jalan yang lain.
“Zalim bermaksud tidak mengikuti jalan yang betul, seperti membangunkan negara dengan ajaran ciptaan manusia yang lemah dan berilmu tanpa hidayah. Contohnya, kaum Firaun, ‘Ad, Thamud, dan lain-lain,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas pada Isnin.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu lagi, Madani mereka mencipta tamadun kebendaan yang hebat, namun dibina di atas kezaliman nafsu dan ilmu tanpa sempadan kemampuan manusia, akhirnya membawa kemusnahan.
“Ada juga kezaliman yang dinamakan agama atau teori dan ideologi.
“Allah SWT juga menceritakan konsep madani Islam oleh kerajaan Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain yang beriman serta memakmurkan dunia dengan keberkatan.
“Allah SWT menetapkan sifat madani manusia sejak manusia pertama Adam AS, jauh sebelum wujudnya Malaysia, berpandukan firman Allah SWT.
“Maka, urusan dunia termasuk dalam perkataan al-din yang menjadi jenama Islam, berbeza dengan agama dan ideologi yang lain. Urusan dunia juga termasuk dalam kewajipan manusia, sehingga ilmu yang berkait dengannya menjadi fardu kifayah dan fardu ‘ain yang berhubung kait dengan Islam sebagai rukun masyarakat madani,” jelas Hadi.
Jelas beliau lagi, Madani yang sebenar ialah Islam wajib berkuasa memerintah urusan manusia.
“Rasulullah SAW ialah teladan terbesar pada akhir zaman, ketika manusia dikurniakan kemajuan ilmu sehingga menghubungkan seluruh manusia di alam dunia terkini.
“Kini, kita sedang menyaksikan tanda-tanda kemusnahan Tamadun Timur dan Barat disebabkan mereka menolak Islam,” katanya.