KUALA LUMPUR, – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita mendalam susulan tragedi kemalangan jalan raya yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi di Gerik, Perak.
Dalam satu kenyataan di akaun rasmi Facebook beliau, Anwar menyatakan bahawa beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, amat berdukacita menerima berita nahas yang melibatkan sebuah bas persiaran dan beberapa kenderaan lain.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” tulis beliau.
Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya segera menyelaras bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa terlibat.
“Saya telah arahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa,” katanya.
Anwar turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan tidak terburu-buru mengejar destinasi, menekankan bahawa nyawa terlalu berharga dan tiada galang ganti.
“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi.”
Terdahulu, UPSI telah membuka bilik gerakan khas untuk menyelaras maklumat dan bantuan susulan tragedi yang menggemparkan itu. Orang ramai boleh menghubungi: Pejabat: 05-450 7148 Hotline: 019-571 9977.