KUALA LUMPUR, – Semua syarikat pengendali rangkaian mudah alih utama negara tampil menafikan dakwaan bahawa mereka telah menyerahkan data peribadi pelanggan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tujuan projek “Mobile Phone Data”.
CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), U Mobile dan YES dalam kenyataan berasingan menegaskan bahawa data yang dikongsi hanyalah maklumat agregat yang telah dinyahidentiti, iaitu tidak mengandungi sebarang maklumat sensitif seperti nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan atau lokasi spesifik pengguna.
CelcomDigi menegaskan komitmen mereka terhadap privasi pelanggan dan menolak sebarang bentuk pendedahan data sensitif.
“Kami jaga data pelanggan dengan serius. Kami tak bagi maklumat peribadi seperti nama atau nombor telefon kepada sesiapa pun,” tegas kenyataan CelcomDigi.
Maxis pula menjelaskan bahawa data yang diberikan hanya dalam bentuk umum dan digunakan untuk membantu pihak berkuasa mempertingkatkan perkhidmatan digital di seluruh negara.
“Kami cuma bagi maklumat yang umum saja bukan data peribadi. Semua ini ikut undang-undang dan untuk bantu kerajaan rancang internet yang lebih baik,” kata kenyataan Maxis.
TM turut menegaskan bahawa mereka tidak menyerahkan sebarang maklumat individu kepada MCMC.
“Kami hanya beri data tanpa identiti bukan nama, bukan nombor IC. Semua untuk bantu liputan internet lebih baik di seluruh Malaysia,” menurut kenyataan TM.
U Mobile dan YES turut memberi jaminan bahawa mereka kekal mematuhi undang-undang privasi dan tidak pernah berkongsi data peribadi pelanggan dengan mana-mana pihak.
“Kami hanya beri laporan umum, bukan maklumat peribadi pengguna. Kami akan terus lindungi hak privasi semua pelanggan,” ujar U Mobile.
Kami patuhi undang-undang dan hanya kongsi data agregat, bukan data peribadi,” kata kenyataan YES.
Sebelum ini, laporan South China Morning Post (SCMP) mendakwa bahawa kerajaan Malaysia melalui MCMC telah mengarahkan telco menyerahkan data pelanggan, menimbulkan kebimbangan awam terhadap pelanggaran privasi.
Bagaimanapun, MCMC telah menafikan laporan tersebut dan menegaskan bahawa projek Mobile Phone Data bertujuan untuk mendapatkan gambaran statistik terhadap capaian internet, penggunaan data, dan mobiliti pengguna bukan untuk pemantauan individu.
Kenyataan tegas daripada kelima-lima penyedia rangkaian mudah alih ini sekali gus menyangkal dakwaan penyalahgunaan data dan mengulangi komitmen mereka untuk melindungi hak privasi semua pengguna.- SuaraTV