KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar mengakui peranan Timbalan Presiden PKR menjadi lebih kritikal ketika Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim kini memegang amanah sebagai peneraju kerajaan sedang memikul tanggungjawab besar mengemudi negara dalam era penuh ketidaktentuan, di tengah percaturan kuasa dunia seperti perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).
Justeru katanya Timbalan Presiden memainkan peranan penting untuk memperkukuh parti, memastikan urus tadbir dalaman berada pada landasan kukuh, agar Presiden dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara.
“Saya melangkah ke hadapan bukan dengan rasa megah, tetapi dengan penuh rasa tanggungjawab dan sedar, bahawa setiap undi adalah amanah, dan setiap amanah menuntut kerja sebenar.
“Mari kita bina kembali kekuatan ini. Kalau ada yang retak, kita satukan. Kalau ada yang renggang, kita dekatkan. Bersama, kita mampu membawa reformasi sebenar dari hati, untuk rakyat.
“Saya mewakili semua, sama ada yang mengundi saya, mahupun Datuk Seri Rafizi Ramli amatilah amanat ini. Presiden parti kita kini memegang amanah sebagai peneraju kerajaan, sedang memikul tanggungjawab besar mengemudi negara dalam era penuh ketidaktentuan, di tengah percaturan kuasa dunia seperti perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.
“Maka, dalam keadaan ini, peranan Timbalan Presiden menjadi lebih kritikal. Untuk memperkukuh parti, memastikan urus tadbir dalaman berada pada landasan kukuh, agar Presiden dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara,” kata Izzah.
Antara langkah pertama yang beliau rangka ialah memperkenalkan sebuah program universal untuk semua cabang, satu inisiatif menyeluruh bagi memperkasa jentera akar umbi.
“Program ini akan memfokuskan kepada strategi meningkatkan jumlah penyokong, pendekatan efektif mendekati rakyat, serta cara terbaik membantu komuniti di kawasan masing-masing.
“Kita tidak boleh membiarkan pahlawan kita berjuang tanpa kekuatan. Kita akan pastikan setiap jeneral dan pahlawan parti, dari cabang hingga ke pusat, dilengkapi dengan kekuatan yang cukup, ilmu, sumber, dan semangat juang bagi menghadapi medan tempur politik yang mendatang. Insya-Allah,” ujar beliau.
Dalam meraikan kemenangan itu, Izzah tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi mandat dan kepercayaan terhadapnya.
“Hakikatnya, kemenangan bukan lah waktu untuk bersorak atau bersenang lenang.
“Ia adalah waktu untuk bekerja dengan lebih keras dan lipat gandakan usaha untuk turun padang, mendengar, menyingsing lengan dan kembali ke medan ‘tempur lawan sebenar’.
“Kita tidak punya banyak masa. Jangan sia-siakan setiap peluang dan setiap saat yang kita ada.
“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya,” catatnya memetik Surah Al-Baqarah: 216.