KUALA LUMPUR – Adun Merlimau Datuk Dr Akmal Saleh menyambut baik seruan 15 cawangan DAP di Jasin mahu Kerajaan Perpaduan yang diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak menamakan ahli politik yang mengamalkan politik ekstrem sebagai calon PRN Melaka akan datang.
“Saya sangat setuju!
“Malah saya menyarankan kepada DAP Jasin agar buat satu lagi syarat iaitu calon yang betul-betul memahami sejarah dan Perlembagaan Malaysia serta mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih.
“DAP jasin mahu bertanding juga di Merlimau atau mana-mana kerusi DUN dalam Jasin ke? Macam cadangan Ketua Dapsy Melaka tu?
“Silakan kami tunggu,kita lawan habis-habisan nanti ya,” tegas Ketua Pemuda Umno itu.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada keputusan mesyuarat agung tahunan yang diadakan Sabtu lalu di mana 15 cawangan DAP di Jasin itu sebulat suara meluluskan usul menyokong calon kerajaan perpaduan dengan syarat mereka tidak mengamalkan politik ekstrem.
“Semua 15 cawangan DAP turut menyatakan pendirian tegas untuk menolak mana-mana ahli politik atau parti yang mengamalkan politik ekstrem, perkauman atau agama yang memecahbelahkan perpaduan rakyat.
“DAP Jasin komited untuk menjadi sebahagian daripada usaha membina negara yang lebih bersatu, adil dan makmur. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membawa politik kebencian dan perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan bersama.
Kata kenyataan itu lagi, masa depan negara bergantung kepada kestabilan politik, keharmonian kaum, dan kepimpinan yang progresif.
“DAP Jasin komited menjadi sebahagian daripada usaha membina negara yang lebih bersatu, adil dan makmur. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membawa politik kebencian dan perpecahan,” kata kenyataan itu.
15 cawangan yang meluluskan usul itu ialah Kelubi, Air Barok, Taman Maju, Jasin Lalang, Parit Keliling, Pondok Batang, Asahan, Kong Sai, Air Panas, Serkam Pulai, Simpang Kerayong, Jalan Rim, Bukit Katong, Kemendor, dan Ladang Asahan.
Walaupun tidak menamakan mana-mana ahli politik, gerakan tersebut dipercayai ditujukan kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.
Parlimen Jasin mempunyai lima DUN termasuk Merlimau yang kini disandang pemimpin Umno tersebut.
Akmal yang juga Exco Melaka antara pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan yang lantang menyerang DAP dalam pelbagai isu.
Terbaharu, pada awal bulan ini, Akmal mengecam DAP selepas sembilan cawangan DAP Melaka mengesa BN dan PH berkongsi kerusi sama rata dalam PRN akan datang.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN. Pada PRN 2021, BN memenangi 20 kerusi, PH lima dan Perikatan Nasional tiga.