LANGKAWI, – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) Wilayah Utara yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka, Langkawi, Kedah.
Program anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertujuan memperkukuh keselamatan dalam talian serta membina komuniti digital yang lebih berdaya tahan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Lebih 1,800 peserta menghadiri pelancaran ini, termasuk pelajar daripada 22 buah sekolah, guru, ibu bapa, pemimpin komuniti serta wakil pelbagai agensi berkepentingan.
KIS merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa literasi digital masyarakat, terutamanya bagi menangani isu-isu seperti buli siber, penipuan dalam talian, perjudian siber dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
Sepanjang tahun ini, kempen yang merangkumi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dijangka akan melibatkan lebih 100,000 peserta.
Antara pengisian menarik sepanjang kempen ini termasuklah aktiviti interaktif berasaskan Modul Keselamatan Internet khas untuk kanak-kanak bawah 13 tahun; Perkongsian modul khusus untuk guru dan ibu bapa; Pertandingan ‘Choral Speaking’ bertemakan keselamatan internet; dan pertandingan Menu Viral yang mengetengahkan prinsip penggunaan internet secara 3S – Semak Sebelum Sebar.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md. Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zin (B); Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid JPN Kedah, Tuan Haji Mohd Kamil bin Haji Hashim; serta Guru Besar SK Ulu Melaka, Encik Rizal bin Mohd Yusof.