Setelah dapat kesedaran syarikat pelancongan henti aktiviti tunggang unta di Piramid Giza

- Advertisement -

KAHERAH – Lebih 50 syarikat industri pelancongan termasuk gergasi penyewaan Airbnb menghentikan promosi atau tawaran tiket aktiviti menunggang unta di Piramid Giza di Mesir.

Langkah tersebut ekoran kempen kesedaran berterusan Pertubuhan Layanan Beretika bagi Haiwan (PETA) sejak Oktober lalu tentang haiwan di kawasan itu yang dieksploitasi dalam cuaca panas terik tanpa akses mencukupi kepada makanan, rehat, teduhan atau rawatan veterinar.

Antara jenama pelancongan terkenal yang tidak lagi menawarkan aktiviti menunggang unta dalam pakej mereka termasuk syarikat di bawah The Travel Corporation seperti Trafalgar dan Contiki, serta Abercrombie & Kent (A&K), AdventureWomen dan Flash Pack.

Selain itu, platform pelancongan dalam talian seperti Airbnb Experiences dan ToursByLocals juga sudah menghentikan tawaran aktiviti melibatkan unta di laman web mereka, lapor Agensi.

Pegawai Tanggungjawab Korporat PETA, Emily Guice berkata, pertubuhan itu memulakan siasatan pada tahun 2019 selepas dibanjiri aduan mengenai layanan buruk terhadap unta dan kuda di Piramid Giza.

Siasatan diterajui PETA merakam pengendalian haiwan secara ganas, memukul unta dan kuda yang sudah terlalu letih untuk digunakan mengangkut pelancong di bawah terik matahari.

Kuda dan unta yang cedera serta kekurangan zat makanan dilihat makan daripada longgokan sampah.

Bangkai haiwan tersebut turut ditemui dibuang di tapak sampah di luar Piramid Giza dalam keadaan menyedihkan, sekali gus mencemari imej tapak warisan dunia paling terkenal itu.

PETA kini menyeru seluruh industri pelancongan supaya menyusul langkah syarikat yang berhenti mempromosikan aktiviti menunggang haiwan di Piramid Giza.

Sebagai alternatif, (A&K) menggantikan aktiviti tunggangan unta dengan akses eksklusif ke kawasan terhad sekitar patung Sphinx besar.

“Apa yang juga penting, pelancong yang berkunjung ke Piramid Giza tidak perlu menunggu syarikat perjalanan untuk mendahului usaha ini.

“Sebaliknya, pelancong boleh membuat tindakan sendiri, dengan tidak mengambil bahagian dalam kegiatan menunggang kuda atau unta di sekitar kawasan ikonik ini.

“Unta dan kuda akan terus merana selagi orang ramai meneruskan kegiatan menunggang ini,” kata Guice.

Sejak beberapa tahun lalu, terdapat trend global menjauhi aktiviti pelancongan yang memudaratkan haiwan antaranya larangan menunggang gajah di Thailand dan berenang bersama ikan lumba-lumba.

Honduras dilaporkan turut mengharamkan interaksi pelancong dengan kongkang atau sloth di Pulau Roatan bermula 1 April lalu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat