Izzah jambatan generasi pengasas dan generasi baharu, PKR Melaka sokong cabar Timbalan Presiden

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PKR Melaka juga menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar untuk mencabar jawatan Timbalan Presiden PKR.

Menurut kenyataan bersama PKR Melaka mereka berkata, dalam dunia politik yang dinamik, kita memerlukan pemimpin yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baharu seorang pemimpin yang membawa nilai kesederhanaan, berprinsip, progresif dan berwawasan.

“Kami yakin Nurul Izzah mempunyai segala ciri kepimpinan tersebut. Beliau mampu menyuntik nafas baharu dalam PKR, memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, dan terus membawa obor perjuangan ke arah sebuah negara yang lebih adil, stabil dan inklusif.

“Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan PKR. Sejak awal, beliau telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara, serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi.

“Pengalaman beliau sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen dua penggal, dan aktivis masyarakat sehingga baru baru ini disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam ‘Project Syndicate Forward Thinkers List’ tentunya memberikan kekuatan dan kredibiliti untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti.

“Pencalonan beliau bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan, tetapi soal masa depan PKR sebagai sebuah parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat,” katanya.

PKR Melaka menegaskan bahawa mereka berdiri teguh menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat bagi sesi 2025–2028.

“Semoga pencalonan ini mendapat sokongan padu daripada seluruh anggota PKR dan menjadi titik tolak kepada kebangkitan baharu parti dalam mendepani cabaran semasa serta masa depan negara,” ujarnya.

Tambah PKR Melaka lagi parti itu telah melalui sebuah perjalanan panjang yang penuh ranjau dan pengorbanan sejak penubuhannya.

“Gerakan reformasi yang digerakkan lebih dua dekad lalu bukan sahaja berjaya merubah landskap politik tanah air, tetapi turut melahirkan satu generasi pemimpin dan pendukung yang setia, berprinsip dan komited untuk meneruskan perjuangan demi keadilan dan demokrasi.

K”ini, dalam menghadapi masa depan yang lebih mencabar dan kompleks, PKR perlu terus memperkukuh barisan kepimpinan yang bukan sahaja memahami sejarah perjuangan, tetapi juga mampu membawa nilai reformasi ke hadapan, memacu agenda perubahan dan menterjemah aspirasi rakyat dengan lebih berkesan.

“Sehubungan itu, kami dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran terhadap amanah perjuangan, menyatakan sokongan terbuka dan keyakinan penuh kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat bagi sesi 2025–2028,” kata PKR Melaka lagi.

Kenyataan bersama itu disepakati bersama Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ketua Cabang PKR Alor Gajah Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan; Ketua Cabang PKR Tangga Batu Azlan Osman; Ketua Cabang PKR Jasin Jagatheason a/l Ramiah; Ketua Cabang PKR Kota Melaka Md Yusoff Ahmad.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat