KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Umno menegur tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwanya membiarkan Kementerian Ekonomi yang diterajuinya tanpa ‘boss’ dalam tempoh yang lama.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi malah menggesa Rafizi melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR sekiranya tindakan mengambil cuti panjang itu sebagai isyarat protes kepada parti.
“Semalam tidak nampak kelibat Rafizi di Parlimen. Dia patut tampil secara terbuka beri penjelasan kenapa ambil cuti panjang. Banyak spekulasi dan majoritinya komen negatif.
“Kalau benar ia ada kaitan dengan isu pemilihan PKR maka cutinya itu tidak bertanggungjawab. Kalau cuti kerana mahu mengugut parti, secara tidak langsung, dia mengugut kerajaan.
“Kalau mahu memprotes parti letaklah jawatan Timbalan Presiden partinya. Bukan cuti panjang dan membiarkan kementerian tanpa bos begitu lama. Ia kementerian penting. “Ministry first, party second”,” bidas Puad.