Kedah bantu kakitangan Continental cari kerja baru di syarikat tayar China melabur di Kedah Rubber City – Exco

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keputusan Continental Tyre Alor Setar Malaysia menutup kilang pengeluarannya di sini hujung tahun ini, dibuat berdasarkan hasil semakan strategik operasi syarikat di peringkat global dan rantau Asia Pasifik.

Exco Industri dan Pelaburan Negeri Kedah Dr Haim Hilman Abdullah, berkata langkah itu bukan dibuat kerana lokasi pengeluaran tidak sesuai, tetapi bertujuan mengoptimumkan portfolio produk dan penyesuaian kepada perubahan pasaran.

Jelasnya, berikutan itu kerajaan negeri bersetuju membantu kakitangan syarikat yang terjejas melalui program penempatan dan latihan semula sebelum mereka ditempatkan syarikat sedia ada di Kedah.

“Hari ini, satu pertemuan rasmi diadakan antara kerajaan negeri bersama pihak syarikat dan mereka memaklumkan keputusan dibuat pada 25 April lalu itu hasil semakan strategik operasi peringkat global dan rantau Asia Pasifik.

“Ia bertujuan untuk mengoptimumkan portfolio produk dan penyesuaian kepada perubahan pasaran, bukan kerana lokasi pengeluaran yang tidak sesuai.

“Pihak syarikat juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas bantuan dan sokongan kuat yang diberikan sebelum ini,” katanya melalui kenyataan lapor BH di Alor Setar pada Rabu.

Haim Hilman berkata, seramai 950 pekerja syarikat itu dijangka terkesan susulan penutupan operasi kilang, merangkumi kira-kira 750 pekerja operasi dan selebihnya pekerja profesional serta pengurusan.

Katanya, kerajaan negeri dimaklumkan pihak syarikat merangka pelan pampasan adil dan bersesuaian, selain turut menyediakan latihan kemahiran tambahan sepanjang tempoh lapan bulan berbaki bagi meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran pekerja.

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan atas pendekatan bertanggungjawab diambil syarikat dalam menjaga kebajikan pekerja.

“Dalam masa sama, kita mengambil langkah proaktif memastikan kebajikan dan masa depan pekerja terus terjaga melalui program penempatan semula oleh Pusat Pembangunan Bakat Kedah (KTDC).

“Mereka akan dilatih semula dan ditempatkan di syarikat sedia ada atau yang baharu dibuka termasuk di syarikat tayar dari China yang akan melabur di Kedah Rubber City (KRC) Padang Terap,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan agar dasar serta insentif pasca pelaburan diwujudkan sebagai tanda penghargaan negara kepada syarikat yang lama melabur dan beroperasi di Malaysia.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat