KUALA LUMPUR,– Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen dalam memperkasa budaya ilmu dan meringankan beban rakyat melalui pelancaran Baucar Buku Semarak Membaca 2025, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi tahun ini.
Inisiatif ini digerakkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi industri buku tempatan, termasuk Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penjual Buku Malaysia, dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia.
Program tahunan ini bertujuan untuk membantu rakyat dalam pembelian bahan bacaan ilmiah dan dalam masa yang sama, merancakkan industri perbukuan negara dengan menggalakkan perbelanjaan domestik terhadap buku-buku tempatan.
Kerjasama Strategik dengan Shopee
Buat pertama kali, program ini turut menerima sokongan Shopee sebagai rakan e-dagang rasmi, membolehkan rakyat menebus baucar melalui platform digital. Malah, Shopee turut menyumbang baucar Shopee Live sebagai insentif tambahan bagi menggalakkan rakyat membeli dan membaca lebih banyak buku.
Kementerian Perpaduan Negara menganggap kerjasama ini sebagai satu usaha murni yang wajar dicontohi syarikat-syarikat lain dalam memupuk budaya membaca di negara ini.
Cara Penebusan Baucar
- Penebusan baucar hanya boleh dibuat di Pesta Buku Negeri yang terlibat. Senarai lokasi boleh dirujuk di laman rasmi: https://semarakmembaca.com
- Setiap individu hanya layak menebus satu (1) baucar sahaja.
- Baucar bernilai RM10.00 boleh ditebus dengan perbelanjaan minimum RM20.00 ke atas dalam satu resit, untuk pembelian buku tempatan atau terbitan dalam negara sahaja.
- Tempoh penebusan bermula 22 April hingga 31 Disember 2025.
Manfaat Baucar Buku
- Membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
- Meringankan kos pembelian bahan bacaan berkualiti.
- Menyokong industri buku tempatan dengan meningkatkan jualan dan menggalakkan pembukaan kedai buku baharu.
- Meluaskan capaian kepada baucar melalui pelbagai saluran, termasuk platform e-dagang dan Pesta Buku Negeri.
Program ini adalah antara usaha berterusan kerajaan untuk memastikan rakyat terus celik ilmu dalam dunia yang semakin mencabar, dan menjadikan budaya membaca sebagai tunjang kemajuan negara.