KUALA LUMPUR, – Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Mohd Razlan bin Muhammad Rafii, hari ini menzahirkan rasa kecewa dan menegur kelalaian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan insiden risalah rasmi kementerian yang memaparkan Jalur Gemilang dengan reka bentuk yang salah memaparkan dua bintang.
Menurut beliau, kesilapan yang kelihatan ‘teknikal’ itu sebenarnya mencerminkan kegagalan serius dalam tanggungjawab asas sebuah institusi penting negara dan boleh menjejaskan imej serta maruah negara di mata rakyat.
“Paparan Jalur Gemilang yang tidak sempurna bukan sekadar kesilapan remeh. Ia mencalar kredibiliti kerajaan dan menjatuhkan martabat institusi pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pagi tadi.
Razlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Seputeh menegaskan, tindakan mesti diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat, termasuk di peringkat editorial, reka bentuk dan syarikat penerbitan yang terbabit.
“ Saya mahu siasatan penuh dilakukan oleh KPM. Mereka yang bertanggungjawab mesti dikenal pasti dan tindakan sewajarnya perlu diambil termasuklah disenaraihitamkan jika perlu,” ujarnya tegas.
Tambah Razlan, dalam era kemajuan teknologi seperti penggunaan AI, kerajaan tidak boleh dilihat lemah atau bersikap sambil lewa dalam hal melibatkan simbol rasmi negara.
“Ini bukan soal permohonan maaf. Ini soal maruah negara. Soal integriti penjawat awam dan semangat nasionalisme terhadap simbol kedaulatan kita,” katanya.
Beliau turut menggesa agar laporan penuh siasatan didedahkan kepada umum sebagai bukti komitmen kerajaan kepada prinsip ketelusan dan akauntabiliti.