MELAKA, – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub hari ini menggesa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusof agar segera membersihkan namanya berhubung penyebaran satu video kontroversi yang dikatakan mengaitkan beliau dengan perancangan penahanan seorang bekas pemimpin negara.
Video berdurasi 3 minit 57 saat itu mula tersebar di media sosial sehari selepas Ketua Menteri Melaka membuat penafian bahawa beliau terlibat dalam penahanan mantan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Video tersebut mengandungi kenyataan media Ketua Menteri dengan latar belakang tiga klip audio perbualan telefon antara dua individu tidak dikenali. Salah seorang daripada mereka dipanggil ‘bos’, dengan suara yang dikatakan mirip Datuk Seri Ab Rauf.
Klip pertama memaparkan perbualan berkaitan laporan polis di sebuah balai, yang dipercayai Balai Polis Batu Berendam. Klip kedua pula menyentuh status laporan tersebut dan arahan untuk menyerahkannya kepada seorang peguam, selain menyebut nama individu bernama ‘Bai’. Dalam klip ketiga, ‘bos’ didengar memberikan arahan agar seorang individu bernama ‘Abang Mansor’ kekal konsisten dengan kenyataan yang dirancang. Nama ‘Ali’ juga disebut dipercayai merujuk kepada tokoh yang kini berada di IPD Dang Wangi.
“Ini satu perkara serius dan memalukan jika benar Ketua Menteri dikaitkan dengan aktiviti tidak bermaruah ini,” kata Dr Mohd Yadzil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban.
Menurutnya, Ketua Menteri perlu segera membuat laporan polis sekiranya beliau benar-benar tidak terlibat dalam rakaman dan perancangan seperti yang digambarkan dalam video tersebut.
“Laporan polis penting agar siasatan forensik dapat dijalankan bagi menentukan kesahihan rakaman, mengenal pasti suara individu terbabit, dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan,” katanya.
Dr Mohd Yadzil turut menggesa Polis Diraja Malaysia dan SPRM menyiasat isu ini secara telus dan bebas daripada campur tangan politik.
“Rakyat berhak mengetahui kebenaran. Jika benar beliau tidak terlibat, maka siasatan ini juga akan membantu membersihkan nama Ketua Menteri daripada fitnah,” tegasnya.