Kerajaan Selangor tawar 100 unit rumah sewa sementara RM850 sebulan di Kota Warisan buat mangsa Putra Heights

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor menawarkan 100 unit rumah sewa sementara dengan kadar RM850 sebulan di Pangsapuri Sri Suria, Kota Warisan, Sepang bagi membantu penduduk terkesan kejadian letupan paip gas di Putra Heights, pada 1 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, berkata kadar sewa itu termasuk yuran penyelenggaraan untuk tempoh enam bulan.

“Inisiatif berkenaan antara langkah segera kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan mangsa terus terbela.

“Unit sewa sementara berkenaan berkeluasan 1,100 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik mandi serta kemudahan asas seperti kipas, lampu dan jeriji.

“Surat tawaran akan dikeluarkan serta-merta dalam tempoh sehari dan penyerahan kunci dijangka dibuat dalam masa dua hari selepas itu,” katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Tawaran Rumah Sementara (RSKu) di Perkarangan Masjid Putra Heights, di Subang Jaya lapor BH pada Isnin.

Borhan berkata, tawaran rumah sementara berkenaan terbuka kepada semua penduduk yang terkesan tanpa mengira status pemilikan rumah.

“Daripada 396 kediaman dikenal pasti terjejas, sebanyak 295 unit milik sendiri manakala 101 unit lagi didiami penyewa.

“Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan pemaju Sime Darby Property Berhad yang menawarkan 66 unit hartanah untuk disewa atau dibeli penduduk terjejas pada kadar harga insentif,” katanya.

Tambah beliau, unit ditawarkan membabitkan projek di Serenia City, Sepang dan Bandar Bukit Raja 2 di Klang, termasuk rumah teres dua tingkat dan rumah jenis berkembar dengan keluasan antara 750 hingga 2,092 kaki persegi.

“Sebanyak 10 unit di Serenia City ditawarkan untuk disewa pada harga RM1,800 sebulan lengkap dengan kelengkapan asas seperti peti sejuk, kipas dan lampu.

“Sementara selebihnya ditawarkan untuk jualan pada harga bermula RM793,888 hingga RM924,888,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menyelaras pelbagai bentuk bantuan dengan kerjasama agensi kerajaan serta pihak swasta bagi memastikan nasib mangsa terus terbela.

“Itu tanggungjawab bersama. Setiap keluarga terjejas berhak mendapat tempat tinggal selamat dan selesa.

“Kita tidak akan membiarkan mereka menghadapi situasi ini bersendirian,”katanya.

Jelasnya, kaunter pendaftaran permohonan dibuka selama empat hari bermula hari ini hingga Rabu di Masjid Putra Heights antara jam 10 pagi hingga 4.30 petang, serta pada Sabtu dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Katanya, penduduk juga boleh membuat permohonan di Pejabat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) di Tingkat 5, Podium Utara, Bangunan SUK, Shah Alam.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat