Oleh Zihan Zari
SEREMBAN – Anugerah Sukan Kolej Komuniti Malaysia 2024 (ASKK) adalah pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen yang ditunjukkan atlet dan pegawai yang mengharumkan nama Kolej Komuniti dalam arena sukan di pelbagai peringkat.
Timbalan Pengarah Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK)Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ts. Hj. Kamaludin Daud berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis itu di Klana Resort, dekat sini, baru-baru ini.
Kamaludin berkata pengiktirafan sebegini bukan sahaja mampu menjadi dorongan kepada para atlet, malah turut menjadi dorongan motivasi positif kepada seluruh warga Kolej Komuniti amnya.
“Majlis seumpama ini juga dapat menjadi satu wadah khas dalam penyatuan antara warga sukan di Kolej Komuniti,”katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM) Ts. Suhairi Ismail berkata sepanjang tahun lalu, Kolej Komuniti Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan.
“Antaranya, Naib Johan Kategori Elit di Grand Final Kejohanan Varsity Sepak Takraw League 2024; Johan Putra B Kejohanan Silat IPT Pahang 2024 ; Johan 200M Varsity Track & Field 2024; dan memungut 3 pingat emas di Kejohanan South East Asia Canoe Championship (SEACC) Vietnam 2024.
“Selain itu, pencapaian terbaik Kolej Komuniti Malaysia sepanjang penyertaan Sukan IPT (SUKIPT) telah meraih pingat sebanyak 6 emas, 9 perak dan 1 gangsa pada 6 hingga 14 September tahun lalu di Universiti Utara Malaysia (UUM),”katanya.
Sementelah, Pengerusi Jawatankuasa Sukan Kolej Komuniti Melaka Negeri Sembilan, Muhammad Sani Che Idris berkata, sukan bukan sekadar aktiviti rekreasi, ianya merupakan satu medium dalam membentuk sahsiah pelajar agar berdaya saing dan berkualiti.
“Atas dasar inilah, tema ‘Sukan Hebat, Sahsiah Mendunia’ telah dipilih pada majlis kali ini.
“Majlis anugerah ini juga bertujuan menyuntik motivasi kepada pelajar dan anggota agar terus berusaha dalam akademik dan kokurikulum,”
katanya yang juga merupakan Pengerusi Anugerah Sukan Kolej Komuniti 2024.
Sebelas Anugerah ASKK 2024 antaranya :1. Anugerah Olahragawan Kolej Komuniti – Pengiran Aidil Auf Hajam @ Pg. Roslie (Kolej Komuniti Sandakan) - Sukan Olahraga 2. Anugerah Olahragawati Kolej Komuniti - Siti Nurfazliyana Mohd Azrol Isham (Kolej Komuniti Kuala Terengganu) - Sukan Woodball 3. Anugerah Ikon Sukan Kolej Komuniti (Alumni ) - Radzwil Ahmad (Kolej Komuniti Tawau) 4. Anugerah Pasukan Terbaik - Sepak Takraw 5. Anugerah Jurulatih Sukan Terbaik - Mohd Fauzi Rahmat Sam (Kolej Komuniti Rompin) 6. Anugerah Pengurus Sukan Terbaik - Nazliah Mamat (Kolej Komuniti Paya Besar) 7. Anugerah Pengantarabangsaan Sukan - Mohd Noriszam Abu Bakar (Kolej Komuniti Kok Lanas) 8. Anugerah Khas Penyelaras Sukan Cemerlang - Nazliah Mamat (Kolej Komuniti Paya Besar) 9. Anugerah Khas Pegawai Belia dan Sukan - Mohd Khairan Azhar (Kolej Komuniti Langkawi) 10. Anugerah Khas Tokoh Sukan - Hj. Wan Mohamad Nasir Wan Abdul Rahman (Mantan Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, JPPKK 11. Anugerah Khas MASKOM - TS. Abdul Razak Sabtu (Pengarah Kanan (Akademik ), JPPKK
Anugerah Sukan Kolej Komuniti Malaysia 2024 (ASKK) bertemakan
‘Sukan Hebat, Sahsiah Mendunia’ telah dianjurkan oleh MASKOM. – SUARA.TV