TAPAH, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan segera susulan teguran Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil berhubung masalah liputan Internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan perkhidmatan di kawasan terlibat, termasuk lokasi tumpuan Pilihan Raya Kecil (PRK), berada pada tahap yang memuaskan. Antara kawasan yang dikenal pasti sebagai keutamaan ialah Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, 21 pusat mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning, Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang, serta dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) iaitu di Air Kuning dan PPR Sri Bidor.
Setakat jam 6:00 petang semalam, kesemua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC. Inisiatif yang dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara, dan perkongsian infrastruktur antara syarikat penyedia perkhidmatan bagi mempercepat usaha penambahbaikan.
Bagi mendekati masyarakat setempat dan menangani aduan secara langsung, MCMC turut membuka Kaunter Aduan di Pejabat Penerangan Daerah, Batang Padang dari 12 hingga 26 April 2025. Kaunter ini beroperasi setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam bagi menerima sebarang aduan berkaitan perkhidmatan telekomunikasi, pos, serta isu-isu lain di bawah bidang kuasa MCMC.
MCMC menegaskan bahawa pemantauan prestasi liputan akan dilakukan setiap hari, dan sebarang aduan baharu akan terus disalurkan kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera. Sekiranya terdapat kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan yang dikeluarkan, tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.