MELAKA, – Jabatan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (JPP) hari ini mengumumkan secara rasmi bahawa Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin telah dipilih sebagai Ketua Cabang KEADILAN Hang Tuah Jaya bagi penggal 2025-2028.
Pemilihan yang berlangsung pada 12 April 2025 itu menyaksikan Shamsul Iskandar, yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, menerima mandat baharu daripada majoriti anggota parti. Kemenangan beliau mencerminkan sokongan padu terhadap tema kempen #KeadilanMemimpin yang menekankan nilai kepimpinan progresif dan berintegriti.
Menurut Pengarah Kempen, Farhan Ibrahim, keputusan ini membuktikan keyakinan anggota terhadap kepimpinan Shamsul Iskandar yang berpengalaman luas dalam politik arus perdana.
“Kemenangan ini ibarat sirih pulang ke gagang. Datuk Seri Shamsul bukan nama asing di Hang Tuah Jaya. Selain pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan ini, beliau juga pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Industri Utama dan mengetuai Cabang KEADILAN Jasin sejak tahun 2004,” katanya.
Farhan menambah bahawa keutamaan Shamsul Iskandar kini ialah menyusun semula organisasi KEADILAN Cabang Hang Tuah Jaya serta melakukan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
“Kita percaya semangat Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan akan diterjemahkan dalam bentuk kerjasama erat bersama parti-parti komponen di peringkat negeri,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru seluruh anggota parti agar berganding bahu bersama barisan kepimpinan baharu demi memastikan KEADILAN kekal relevan dan terus berkhidmat kepada rakyat.
“Sesungguhnya, kepimpinan adalah satu amanah bukan suatu kemegahan,” tegasnya.