Jais Beri Tempoh Sebulan Kosongkan Tanah Masjid Dengkil yang Diceroboh

- Advertisement -

CYBERJAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menetapkan tempoh 30 hari kepada pihak yang telah membina rumah ibadat secara tidak sah di atas tanah milik Jais di pekan Dengkil untuk mengosongkan kawasan tersebut.

Menurut Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad, tindakan tegas akan diambil sekiranya kawasan itu tidak dikosongkan dalam tempoh ditetapkan. Beliau menjelaskan bahawa meskipun laporan polis tidak dibuat, satu surat rasmi telah diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang untuk tindakan lanjut berdasarkan peruntukan undang-undang.

Jais akan bekerjasama dengan PDT Sepang untuk memastikan tindakan bagi pengosongan tanah di tapak pembangunan masjid Dengkil dibuat dalam tempoh satu bulan.

Kami akan terus memastikan tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalan Jais dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika ia masih berlaku,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.

Lawatan ke lokasi tersebut turut dilakukan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Jais, Mohd Faizal Abd Raji, dan Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim. Turut serta dalam tinjauan ialah Penyelaras DUN Dengkil, Noorazli Said, yang mengesahkan bahawa status tanah itu masih kekal milik Jais dan diperuntukkan untuk pembinaan masjid.

Hasil tinjauan mendapati kewujudan sebuah kuil Hindu dan tokong kecil berunsur kepercayaan masyarakat Cina, yang dibina tanpa kelulusan, telah menyebabkan pencerobohan terhadap tanah berkenaan.

Bagaimanapun, perbincangan dengan wakil komuniti India tempatan berlangsung dalam suasana harmoni dan mencapai kata sepakat mengenai pengosongan kawasan tersebut.

Mohd Shahzihan turut memaklumkan bahawa pembinaan masjid baharu di kawasan itu dijadualkan bermula tahun depan.

Sebagai langkah tambahan, Jais akan menjalankan pemeriksaan ke atas semua tanah di bawah kawalannya dalam tempoh sebulan untuk memastikan tiada lagi kes pencerobohan berulang.

Jais akan bersama-sama PDT dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam perkara ini.

Orang awam atau pihak yang mengetahui sebarang bentuk pencerobohan terhadap tanah di bawah kawalan Jais juga diminta terus menyalurkan maklumat kepada kami atau pihak berkuasa negeri,” tambahnya.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat