KUALA LUMPUR – Semangat kebersamaan dan keprihatinan terus mewarnai suasana Ramadan menerusi Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya, yang bukan sahaja menyajikan pelbagai aktiviti menarik tetapi turut menyantuni golongan yang memerlukan melalui program khas Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan. Inisiatif ini memberi peluang kepada masyarakat untuk merasai keindahan berkongsi rezeki dalam suasana yang penuh keberkatan.
Sebanyak 1,000 pek Nasi Arab, 1,000 bubur lambuk, dan 1,000 kampit beras diagihkan secara percuma kepada para pengunjung dan golongan asnaf yang diundang. Sumbangan ini terhasil daripada kerjasama erat antara beberapa organisasi kebajikan, termasuk Yayasan Insan Sakan yang menyumbangkan kampit beras, Yayasan Muhibah dan Yayasan Global Mesra yang menyediakan bubur lambuk, serta Saloma Kuala Lumpur yang menaja penyediaan Nasi Arab khas untuk juadah berbuka puasa.
Menurut Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Dato’ Hj Che Umar, inisiatif ini tidak hanya bertujuan membantu mereka yang memerlukan tetapi juga sebagai satu usaha memupuk semangat memberi dalam kalangan masyarakat.
“Kami percaya Ramadan bukan sekadar bulan ibadah tetapi juga bulan untuk kita berkongsi rezeki. Dengan adanya program ini, kami berharap lebih ramai dapat merasakan keindahan memberi dan menikmati suasana berbuka puasa dalam suasana harmoni,” katanya.
Selain agihan makanan, penganjuran karnival ini turut membawa sinar kepada para peniaga kecil yang terjejas akibat cuaca buruk yang melanda beberapa kawasan bazar Ramadan baru-baru ini. Sebagai langkah membantu mereka, pihak penganjur menyediakan gerai percuma kepada peniaga terpilih, khususnya mereka yang mengalami kerugian akibat hujan lebat dan ribut.
“Kami faham ramai peniaga bazar Ramadan yang berniaga di kawasan terbuka terkesan akibat cuaca buruk. Jadi, kami sediakan ruang berniaga yang lebih selesa dan selamat di sini. Inisiatif ini bukan sahaja membantu peniaga, tetapi juga memberi pengalaman membeli-belah yang lebih baik kepada pengunjung,” ujar Datin Riza lagi.
Menambahkan lagi kemeriahan, lebih 100 gerai jualan disediakan di karnival ini, menawarkan pelbagai produk termasuk makanan berbuka puasa, pakaian raya, kuih-muih tradisional, serta aksesori dan cenderahati. Para pengunjung juga berpeluang menikmati hiburan secara langsung dengan persembahan artis terkenal. Minggu ini, pentas karnival dimeriahkan dengan penampilan Zera Zamri dan Zaki Yamani, manakala minggu hadapan bakal menyaksikan kemunculan legenda rock Malaysia, Ella.
Sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung, pihak penganjur turut mengadakan siaran langsung dari tapak karnival bagi membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan acara secara dalam talian. Dengan sambutan yang amat menggalakkan, Datin Riza menyuarakan harapan agar karnival ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan yang lebih besar dan bermakna untuk masyarakat.
“Ini kali pertama kita anjurkan Karnival Warisan @ Saloma dan sambutannya sangat menggalakkan. InshaAllah, jika semuanya berjalan lancar, kami mahu menjadikannya acara tahunan yang lebih besar dan memberi manfaat kepada lebih ramai orang,” katanya.
Karnival ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tourism Malaysia, MaTiC, KEMAS, serta beberapa agensi lain yang turut memainkan peranan dalam menjayakan acara ini.
Orang ramai dijemput untuk terus memeriahkan Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya, yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan. Untuk maklumat lanjut, layari karnivalwarisan.salomagroup.com atau ikuti laman media sosial rasmi @salomakualalumpur.