SHAH ALAM: DAP akan menggerakkan jenteranya bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata tindakan ini merupakan amalan biasa dalam kalangan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Ini sudah menjadi kebiasaan kita. Dalam mana-mana PRK pun yang membabitkan parti dalam Kerajaan Perpaduan akan kita bantu.
“Seperti mana juga mereka bantu kita di (PRK DUN) Kuala Kubu Bharu sebelum ini, sudah tentu kita akan bantu di DUN Ayer Kuning juga,” katanya pada sidang media sempena Kongres DAP Ke-18 di sini, hari ini.
BN dijangka mengadakan majlis ringkas bagi mengumumkan calon mereka kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon, yang telah ditetapkan pada 12 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia pada 22 Februari lalu.
Allahyarham rebah selepas bermain dalam pertandingan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, bersama bekas pemain dari empat negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Ishsam Shahruddin menjadi ADUN Ayer Kuning selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.