KUALA LUMPUR – Umno tidak pernah sesekali membangkitkan sebarang usul mahupun cadangan untuk menjalin kerjasama semula dengan Pas seperti yang dibimbangi Pengerusi DAP Lim Guan Eng.
Perkara itu disahkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi.
“Sebagai ahli MKT saya sahkan Umno tidak pernah berbincang apa lagi mahu bekerjasama dengan parti Pas menganjur perhimpunan solidariti Najib pada 6hb Januari 2025 ini.
“(Sebaliknya) Umno sudah merancang lebih awal sebelum Pas keluar surat meminta ahlinya hadir perhimpunan tersebut.
“Oleh itu Lim Guan Eng perlu duduk diam dan jangan sebok -sebok.
“Kamu selesaikan masalah rasuah kamu. Kamu kata perhimpunan itu boleh mengancam perpaduan Kerajaan Madani, tetapi meyembunyikan titah adendum itu lagi kuat mengancam masa depan Kerajaan Perpaduan,” tegas Puad yang juga Speaker Dun Johor dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Terdahulu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas tindakan Umno kerana berganding bahu dengan Pas mengadakan perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 6 Januari ini.
Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, ia akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan Umno menjadi rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Umno mesti sedar bahawa sebarang program bersama dengan parti pembangkang Pas, baik perhimpunan solidariti ataupun demonstrasi, akan menimbulkan keraguan tentang kestabilan politik dan kedudukannya dalam kerajaan perpaduan,” katanya.