KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah khuatir dengan cubaan-cubaan membunuh karakter atau ‘character assassination’ yang semakin berleluasa dengan niat untuk memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu.
Sultan Sharafudin bertitah, lazimnya, ‘character assassination’ ini hanya berlaku pada musim pilihan raya, namun kini baginda dapati ia digunakan untuk memusnahkan kepercayaan dan seterusnya menjatuhkan individu tertentu.
“Beta ingin menasihatkan rakyat agar bijak menilai dan mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat prasangka dan percaya dengan fitnah-fitnah yang terhasil daripada cubaan untuk membunuh karakter ini.
“Sekiranya tidak dibendung, Beta bimbang kelakuan seumpamanya boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Beta sarankan, sekiranya terdapat kritikan atau rasa tidak puas hati di kalangan rakyat, ia seharusnya disalurkan sebagai cadangan yang membina demi manfaat semua pihak,” titah perutusan Tahun Baharu 2025, pada Selasa.
Perkembangan lain, Sultan Selangor turut mengingatkan gejala rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal mampu meruntuhkan sesebuah tamadun.
“Ingatlah, bahawa sebuah tamadun boleh runtuh hanya disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal.
“Di tahun baharu ini juga, Beta mahu rakyat sama-sama berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan yang paling penting, mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan harian. Ingatlah, bahawa sebuah tamadun boleh runtuh hanya disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal.
“Beta percaya untuk menjadi sebuah negara yang maju, rakyatnya haruslah saling hormat menghormati, berfikiran positif dan bersatu padu. Jika masih kerap bertelagah, bukankah usaha-usaha untuk memajukan negara akan tergendala? Akibatnya, rakyat yang akan menanggung sengsara hanya kerana keangkuhan dan sifat pentingkan diri sendiri segelintir pihak.
“Beta yakin sekiranya sekalian rakyat menggembleng usaha dan tenaga, mengukuhkan jati diri dan berazam untuk menyumbang sesuatu kepada kemajuan negara, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih maju dan disegani pada tahun 2025 nanti,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin bertitah, sempena tahun baharu ini baginda menyeru agar sekalian rakyat tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik, menanam azam baharu untuk lebih fokus kepada usaha membangun ekonomi dan bekerja lebih kuat demi memajukan negara dalam semua bidang.
“Beta tidak mahu ada pihak-pihak yang masih bertelagah, khususnya di kalangan pemimpin, komuniti perniagaan, penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan.
“Beta sering perhatikan bahawa pertelagahan seumpama ini kerap menjadi punca kepada timbulnya fitnah-fitnah jahat dan adu domba serta penyebaran maklumat palsu khususnya di media sosial,” titahnya lagi.
Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat negeri Selangor khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.
“Beta berharap tahun 2025 akan membawa lebih banyak kemajuan dan kemakmuran kepada semua,” titah baginda.