Oleh Zihan Zari
BUKIT KATIL – Graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) mampu menjana pendapatan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui perniagaan yang inovatif dan mampan.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Unit Keusahawanan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Muhammad Ghiyatuddin Abdul Halim, berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Bengkel Pemerkasaan Inkubator Keusahawanan PolyCC 2024: Pembangunan Perniagaan di Bayou Lagoon Park Resort, dekat sini baru-baru ini.
Muhammad Ghiyatuddin berkata,
bengkel ini adalah bukti kejayaan PolyCC dan KPT dalam memastikan graduan bukan sahaja cemerlang daripada sudut akademik, malah mempunyai ciri keusahawanan yang kukuh untuk mendepani cabaran ekonomi masa depan.
“Program seperti ini menjadi platform penting dalam mempersiapkan pelajar untuk menghadapi dunia perniagaan sebenar.
“Diharapkan peserta akan terus mengembangkan perniagaan mereka selepas tamat pengajian dan menjadi ikon keusahawanan pada masa hadapan,”katanya.
Menerusi kenyataan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memaklumkan, program ini telah mengumpulkan seramai 444 peserta yang terdiri daripada pelajar PolyCC seluruh negara.
Menurutnya, bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan JPPKK dalam melahirkan graduan holistik yang berciri keusahawanan dan mampu bersaing di peringkat nasional serta global.
Menurutnya lagi, program selama empat hari ini direka khusus untuk memperkasa pelajar dalam bidang keusahawanan, selaras dengan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT
2021-2025.
Ia beraspirasi melahirkan generasi pencipta pekerjaan (job creators) dan bukannya pencari pekerjaan (job seekers).
“Sepanjang program, para peserta telah didedahkan kepada pelbagai pengisian berimpak tinggi, termasuk latihan intensif dalam strategi pemasaran, pengurusan kewangan, dan penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan.
“Inisiatif ini selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), di mana teknologi memainkan peranan penting dalam mencorakkan landskap perniagaan masa kini.
“Peserta juga diberikan peluang untuk meneroka kluster perniagaan yang relevan dengan bidang pengajian mereka, termasuk teknologi maklumat, kejuruteraan, hospitaliti, dan fesyen, ”katanya.
“Dengan bimbingan mentor berpengalaman, pelajar bukan sahaja dapat mempraktikkan pengetahuan yang diperoleh tetapi juga dilatih untuk berfikir secara kritis dalam menyelesaikan cabaran perniagaan yang kompleks.
“JPPKK terus komited dalam memperkasa program keusahawanan dengan menyuntik lebih banyak elemen teknologi dan inovasi dan berharap program ini menjadi batu loncatan kepada graduan berjaya sebagai usahawan muda yang mampu bersaing di peringkat global,”katanya lagi.
“Program ini juga diharapkan akan menjadi inspirasi kepada institusi pendidikan lain dalam membentuk graduan yang holistik dan berdaya tahan.
“Graduan yang bukan sahaja menguasai ilmu akademik malah memiliki kemahiran keusahawanan yang mantap serta berani untuk menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
“Harapan tinggi disandarkan kepada peserta agar memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari sepanjang bengkel ini, serta membuka peluang k untuk mereka menjana pendapatan sebagai usahawan,”tambahnya.
“Ianya dianjurkan oleh Bahagian Ambilan & Pembangunan Pelajar (BAPP) JPPKK serta diuruskan oleh Keusahawanan POLYCC Zon Kedah dan Perlis.
“Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program-program pendidikan yang ditawarkan di PolyCC, permohonan kemasukan bagi pelajar baru kini dibuka dan boleh dilayari melalui pautan https://ambilan.mypolycc.edu.my untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar, ”tambah kenyataan itu lagi. – SUARA.TV