KUALA LUMPUR – Tan Sri Abang Johari Abang Openg menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Sarawak membantu membangunkan negeri lain sebagai cadangan yang tidak munasabah.
Premier Sarawak itu berkata, Sarawak bersyukur kerana sudah berjaya mencapai taraf negeri berpendapatan tinggi, tetapi ia belum memadai kerana tumpuan kini dilakukan untuk meningkatkan pendapatan isi keluarga.
Justeru, beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak harus membandingkan Sarawak dengan negeri lain terutama Kedah yang saiznya jauh lebih kecil kerana banyak lagi yang perlu dilakukan Kerajaan Sarawak untuk mengubah taraf hidup rakyat.
“Saya sebenarnya malas nak komen (ulas), malah saya terkejut selepas mengetahui cadangan itu.
“Sarawak hanyalah sebuah negeri dalam Malaysia, bukannya Persekutuan untuk membantu negeri lain,” katanya selepas merasmikan Persidangan Cetak Biru Kemampanan Sarawak di Kuching, lapor BH pada Selasa.
Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa Sarawak yang sudah mencapai status berpendapatan tinggi, seharusnya membantu lebih negeri yang mundur untuk membangun.
Dr Mahathir berkata, Sarawak sudah menjana banyak wang dengan belanjawannya mencecah RM11 bilion iaitu jumlah yang sangat tinggi, berbanding Kedah yang bajetnya hanya RM700 juta.
Negarawan itu berkata, dalam sebuah negara Persekutuan seperti Malaysia, negeri yang lebih kaya mesti berkongsi kekayaan dengan yang lebih miskin.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, beliau mengambil pepatah Inggeris ‘charity begins at home’ sebagai pegangan untuk mengubah kehidupan rakyat Sarawak.
“Ya memang betul, Sarawak sudah mencapai status berpendapatan tinggi, tetapi banyak lagi keperluan rakyat kita terutama di kampung yang masih belum diselesaikan.
“Sebab itu tumpuan Kerajaan Sarawak sekarang adalah untuk membangunkan orang kampung kita sendiri, bukan kampung orang lain.
“Banyak yang Kerajaan Sarawak kena tanggung sendiri seperti menaik taraf atau membina baharu sekolah usang yang mana kita mendahulukan peruntukan untuk melaksanakan projek itu,” katanya.
Abang Johari berkata, Dr Mahathir sepatutnya menggesa Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan kepada usaha membantu negeri dalam kategori miskin, bukan meminta sesebuah negeri membantu negeri lain.
“Kerajaan Persekutuan mendapat banyak keuntungan hasil minyak, Petronas buat duit (dividen dan royalti) bagi kepada Pusat, tetapi Sarawak hanya mendapat hasil daripada cukai jualan (cukai jualan produk petroleum) saja.
“Tetapi kita menguruskan ekonomi dengan baik, sebab itu kita mampu menjadi negeri berpendapatan tinggi, jadi negeri lain terpulanglah kepada mereka (untuk menguruskan ekonomi) dan bekerjalah dengan kuat lagi,” katanya.



