KUALA LUMPUR- Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L Manickam, mengumumkan keputusannya menyertai PAS bagai wadah untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
Manickam berkata, keputusannya menyertai PAS kerana merasakan ia adalah parti terbaik buatnya ketika ini untuk berkhidmat kepada masyarakat khususnya rakyat Negeri Sembilan.
“Saya menyertai PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kira-kira dua minggu lalu ketika Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) DHPP pada 21 Julai lepas.
“Saya telah menerima kad keahlian pada hari yang sama sebelum dilantik sebagai AJK Pusat dan Pengerusi Tetap DHPP Negeri Sembilan,” katanya pada Khamis.
Manickam berkata, penglibatannya dalam politik sudah lebih 40 tahun dan penyertaannya dalam PAS bagi membolehkannya untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat.
Katanya beliau juga lebih yakin dengan parti itu yang disifatkan mantap serta kukuh, malah diterima semua.
“Saya tertarik dengan slogan PAS untuk semua. Saya juga tertarik dengan kepimpinan PAS bawah pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua DHPP Pusat, N Balasubramaniam.
“Kini saya nampak PAS mula diterima semua. Saya juga sudah selesa dengan PAS sebab MIC pernah bersama parti ini dahulu ketika UMNO bekerjasama dalam Muafakat Nasional,” lapor BH di Jempol.
Manickam turut memberi gambaran berhubung penyertaannya dalam PAS menerusi hantaran di laman Facebooknya..
“Ada hikmah di sebalik Hijrah. Saya sudah berhijrah ke bulan (PAS) tanpa menggunakan roket (DAP). Bagaimana dengan saudara dan saudari. Dialu-alukan untuk turut serta jika sesiapa berminat untuk bersama,” catanya.
Pada Oktober tahun lalu, Manickam yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang mengumumkan meletakkan semua jawatannya dalam MIC termasuk sebagai Pengerusi MIC Negeri Sembilan dan Ketua MIC Bahagian Jempol sekali gus keluar daripada parti itu.
Manickam menyertai MIC melalui cawangan Jenjarom, Kuala Langat, pada tahun 1979, sejak itu beliau memberikan khidmatnya kepada masyarakat India melalui MIC.
Selain itu, beliau juga bekas ADUN Jeram Padang selama dua penggal dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Sembilan (Exco) dari 2013 hingga 2018.