Kolej KEDA rai 593 graduan & 152 tahfiz TVET dalam graduasi ke-12

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

ALOR SETAR – Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sebagai agensi yang menyokong pembangunan program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) telah mengeluarkan sijil kepada 8,224 graduan sehingga Disember 2023.

Kebolehpasaran graduannya bagi 2023 adalah 98.50%, melibatkan yang sudah bekerja pula sebanyak 74.59%, bergelar usahawan sebanyak 4. 92% dan mereka yang menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi sebanyak 18.03%.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Hjh. Rubiah Wang berkata demikian pada Majlis Graduasi Kolej KEDA Ke-12 di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary, pada Ahad.

Pada majlis graduasi ini, seramai 593 orang graduan dan 152 Tahfiz TVET Kolej KEDA menerima sijil dalam bidang masing-masing.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi KEDA, Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Hj. Wan Sulaiman.

Rubiah berkata, Kolej KEDA telah diamanahkan untuk memikul tanggungjawab menguruskan latihan dan pembangun modal insan, antaranya, Teknologi Elektrik, Kimpalan, Motosikal, Makanan, Automotif, Fabrik (Lelaki & Wanita), dan Teknologi Penyejukbekuaan & Penyaman Udara.

Menurutnya, kemudahan yang dinikmati oleh para pelajar di Kolej KEDA secara keseluruhan adalah dibiayai oleh kerajaan antaranya, makan minum, penginapan, peralatan latihan dan kelengkapan bengkel.

Katanya, Kolej KEDA berjaya meraih anugerah 5 bintang bagi penarafan tunggal TVET 2023 dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia melalui aspek penilaian dan pematuhan elemen-elemen pembelajaran dan pengajaran latihan kemahiran yang telah ditetapkan.

Di samping itu, Kolej KEDA telah melakarkan kecemerlangan melalui pelbagai pencapaian kemahiran inovasi yang disertai oleh pelajarnya di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Antaranya , tempat ketiga kategori Idea, International Innovation and Competition Through Exhibition (Icompex 2023), meraih Perak kategori Teknikal Pertandingan Inovasi dan TVET 2023 KV Miri.

Meraih 4 emas, 4 perak kategori TVET di International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (ICOMPEX 2023); Culinary World Cup Malaysia 2023; meraih 1 emas, 1 perak, 1 gangsa di Culinary World Cup Malaysia 2023.

Selain itu, 10 emas, 1 perak, 1 gangsa dalam pertandingan World Cheff Championship Malaysia 2023 dan meraih perak bagi kategori Malay Heritage dalam pertandingan Battle of The Chefs 2024 Pulau Pinang.

Manakala di peringkat tempatan pula, mereka meraih perak, gangsa bagi pertandingan Stem Invention & Innovation Competition (SIIC) ; tempat ketiga kategori arca dalam pertandingan Inovasi Ekspo TVET @KKDW Miri, dan naib johan kategori Inovasi Teknikal bagi Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (AIPA) 2023.

Katanya, penambahbaikan dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pengajar dan pelajar diutamakan agar seiring dengan perkembangan kemahiran terutama dari pemain industri.

Antaranya up-skilling modul bersama Hong Leong Yamaha Malaysia dan pengkhususan penyelenggaraan gearbox bersama JV Auto Lube Sdn. Bhd.

Ujarnya, tenaga pengajar Kolej KEDA sentiasa berusaha dalam menyampaikan dan memberikan yang terbaik terutama dalam aspek pengajaran dan pembelajaran TVET.

Pada majlis yang sama, Rubiah turut merasmikan pelancaran Tahfiz TVET@Kolej KEDA 3.0.

Beliau berkata, KEDA telah memperuntukkan sejumlah RM312,000 dengan jumlah pelajar seramai 152 dan melibat 19 Pusat Tahfiz terpilih di Kedah.

Antara Pusat Tahfiz yang terlibat, Institut Pendidikan Islam dan Tahfiz Al-Quran (ABADA), Baling ; Madrasah Baitul At-Taqwa Wa Rahmah dan Maahad Tahfiz Darul Hijrah, Baling ;Maahad Tahfiz Al-Fityan, Yan; Maahad As Solehan, Alor Setar ; SMITI At-Taqwa Sg. Bongkok, Gurun ; Maahad Tahfiz Al Wafa Lilbanat, Kulim ; Maahad Tahfiz Al-Qadi, Kulim, dan Madrasah At-Taklimiah Al Khariah, Alor Setar.

Manakala, pada tahun ini, KEDA telah memperuntukkan sebanyak RM175,000 untuk Tahfiz TVET@Kolej KEDA 3.0 dengan melibatkan seramai 80 pelajar dan 10 Pusat Tahfiz bagi melahirkan graduan tahfiz berkemahiran.

Beliau berkata, KKDW menerusi Kolej KEDA terus komited melahirkan lebih ramai graduan tahfiz dan memberi peluang kepada mereka kemahiran menerusi Pengajian Tahfiz TVET@Kolej KEDA 3.0.

Ianya merupakan sebuah program pengajian kemahiran jangka pendek yang telah dirangka secara khusus kepada para pelajar tahfiz dalam menyediakan modal insan berkemahiran untuk mengharungi alam pekerjaan kelak.

Katanya, tempoh program ini selama enam bulan dengan menggunakan modul yang telah dirangka secara modular agar latihan yang diberikan berkesan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Beliau yakin KEDA akan terus berusaha untuk memperluaskan program ini dan berharap agar lebih banyak pihak dapat bekerjasama dalam merealisasikan matlamat ini.

Sementara itu, Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff berkata, KEDA komited graduan tahfiz memiliki nilai tambah dengan kemahiran teknikal, dapat membantu mereka dalam mencari pekerjaan atau menceburi bidang perniagaan sendiri.

“Mereka tidak hanya terhad kepada bidang keagamaan, malah mampu bersaing dalam industri teknikal dan vokasional serta boleh membantu dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat terutama di kawasan luar bandar,” katanya lagi. – SUARA.TV

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat