Ampang – Demi memastikan nasib saudara baru mendapat pembelaan yang sewajarnya Ahli Parlimen Ampang, YB Hajah Rodziah Ismail menyalurkan peruntukkan sebanyak RM15,000.00.
Rodziah ketika menyampaikan ucapan perasmian berkata selain menyediakan kediaman yang selesa peruntukkan tersebut turut bertujuan untuk membolehkan golongan saudara baru mendapat pendidikan ilmu agama yang sempurna.
“Diharapkan sumbangan tersebut dapat membantu serba sedikit memenuhi keperluan mualaf di samping memastikan mereka terus bersemangat untuk mendalami Islam.
“Selaku Ahli Parlimen saya berharap dapat menjadi penghubung jalan antara NGO masyarakat dengan agensi yang sepetutnya.
“Ini kerana tugas membantu mereka yang memerlukan ini atau kurang berkemampuan ini bukan terletak hanya pasa satu pihak tapi merupakan tanggungjawab semua,” katanya.
Beliau seterusnya turut menegaskan selaku ahli parlimen pihaknya bersedia menjadi pemudahcara kepada mana-mana badan bukan kerajaan dengan agensi kerajaan bagi membolehkan lebih banyak bantuan dapat disalurkan.
Terdahulu Rodziah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, YB Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad mengadakan lawatan ke Asrama Darul Huda yang merupakan rumah transit mualaf.
Rumah transit tersebut di uruskan oleh Perkim Datuk Keramat dengan kerjasama Perkim Ampang.
Sementara itu Syed Ahmad pula menegaskan pihaknya amat mengalu-alukan penglibatan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan.
Menurutnya kerjasama seperti ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada masyarakat sekaligus membolehkan dana rakyat benar-benar sampai kepada golongan sasar yang ditetapkan.