KUALA LUMPUR – Malaysia berhasrat menjadikan Amerika Syarikat (AS) dan China sebagai rakan dagang dan pelaburan utama.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pihaknya dalam usaha untuk mengukuhkan lagi pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara.
“Selain China, Amerika Syarikat juga antara rakan dagang dan pelaburan utama Malaysia.
“Bolehkah kita mengukuhkan lagi pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara?
“Saya dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard Kagan sepakat untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia-AS demi manfaat tanah air kita dan rantau ini,” ujar Tengku Zafrul.
Beliau sebelum itu, bermesyuarat dengan Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing mengenai program sempena Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.
Antaranya ialah Lawatan Kerja Rasmi Li Qiang,Perdana Menteri Republik China ke Malaysia.
“Hasrat kami adalah untuk memastikan program-program yg disusun mampu memberikan impak kepada hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-China.
“Semoga ulang tahun Ke-50 ini menjadi titik tolak untuk era baru dalam hubungan diplomatik, perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh dan bersepadu antara Malaysia dan China,” katanya.