Setuju atau tidak, keputusan Lembaga Pengampunan tak boleh dicabar – Hassan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menganggap keputusan Lembaga Pengampunan petang Jumaat, 2 Februari ini terhadap Datuk Seri Najib Razak bersabit kes SRC International adalah munasabah dan berpatutan.

Menurut Hassan yang juga pengamal undang-undang, keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusiksn oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja yang berkuasa ke atas Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan tidak boleh dicabar di mahkamah, sama ada kita bersetuju dengannya ataupun tidak.

“Ia tetap tidak boleh dibicarakan di mahkamah undang-undang sama ada Yang di-Pertuan Agong menerima nasihat Lembaga Pengampunan ataupun tidak.

“Ini kerana kuasa membuat keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah bersifat kuasa budi bicara baginda dengan syarat sebelum Seri Paduka membuat keputusan tersebut, satu mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan dan dipengerusikan oleh Baginda.

“Sama ada kita bersetuju atau tidak tentang hal semacam ini, itu adalah persoalan lain.

“Satu hal perlu disedari bahawa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah Mahkamah Belas Ihsan (court of mercy) bukannya mahkamah undang-undang biasa (court of laws),” katanya.

Hassan yang juga ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menghormati dan sedia dengan hati terbuka menerima keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib kerana Lembaga Pengampunan secara hakikinya tidak memberikan pengampunan terhadap sabitan kesalahan yang telah diputuskan oleh mahkamah undang-undang.

Tegas beliau, dalam undang-undang ada dua perkara apabila seseorang dihukum oleh mahkamah.

“Yang pertama orang yang dituduh itu disabitkan bersalah. Kunci perkataannya ialah sabitan atau conviction dalam bahasa Inggeris.

“Selepas disabit bersalah maka orang yang dituduh itu dijatuhkan hukuman ke atasnya. Kata kuncinya ialah hukuman atau sentencing. Ini berlaku jika si tertuduh itu didapati bersalah,” ujar beliau.

Tegas Hassan, keputusan Lembaga Pengampunan ini tidak melepaskan Najib.

“Sabitan bersalah ke atas Najib tetap kekal. Yang diringankan ialah jumlah hukuman dari 12 tahun kepada enam tahun sahaja.

“Selain itu jumlah denda yang wajib dibayar daripada RM200 juta dikurangkan kepada RM50 juta sahaja,” ulas beliau.

Jelas Hassan lagi, dalam isu pengurangan tahun penjara dan pengurangan kuantum denda, jika sesiapa hendak pertikai, boleh sahaja dibahaskan tetapi soal teras dan asas yang perlu dilihat ialah Lembaga Pengampunan tetap menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah Persekutuan yang mendapati selepas perbicaraan penuh dan selepas rayuan dan semakan bahawa sesungguhnya di atas neraca keadilan Najib adalah bersalah dan sabitan bersalah itu tidak diberikan pengampunan.

“Sebagai seorang anggota Jawatankuasa Mengenai Rasuah yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri di bawah Seksyen 14 Akta SPRM 2009, saya melihat keputusan Lembaga Pengampunan terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa Najib dalam kes SRC International akan dapat mengekalkan semangat dan komitmen kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan agensi memerangi rasuah SPRM untuk meneruskan komitmen membasmi amalan rasuah di Malaysia ini.

“Keputusan Lembaga Pengampunan yang teguh mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib telah menghantar isyarat yang jelas kepada mahkamah supaya terus kekal mempertahankan kebebasan mahkamah undang-undang dalam soal keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat