KUALA LUMPUR – Kegagalan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan pengampunan penuh telah mengecewakan individu-individu yang rapat dengan bekas Perdana Menteri itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi menganggap keputusan Lembaga Pengampunan hari ini amat melukakan.
“Najib gagal dapat pengampunan penuh. Ia amat melukakan. Orang lain boleh, dia tidak boleh. Ada yang mahu ia tidak dibolehkan.
“Banyak pihak akan berpesta. Najib adalah “wow” faktor pemulihan Umno.
“Kini senjata kebangkitan Umno ditumpulkan,” kata Puad.
Menurut beliau, Najib mesti kembali aktif memberi idea dan kritikan dalam isu ekonom dan kesejahteraan rakyat.
“Fizikal terkurung tetapi pemikirannya tidak.
“Buatlah apa sahaja kepada Najib, yang setia tetap bersama.
“Kifarah tidak akan salah alamat,” bidas Puad.
Isham Jalil pula mendakwa Kerajaan Perpaduan ‘kencing’ dan tidak boleh dipercayai.
“Saya sudah cakap lama. Mereka itu memang kaki kencing, tapi ada yang masih percaya dan berharap mereka konon dapat tolong.
“Sekarang apa sudah jadi? Masih mahu sokong Anwar, DAP dan Zahid Hamidi? Sokonglah jika mahu terus kena kencing,” dakwanya.
Sementara itu, Keluarga Najib menghargai pengurangan hukuman penjara daripada 12 kepada enam tahun yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Mereka bagaimanapun kecewa Najib tidak diberikan pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta.
“Datuk Seri Najib Razak dan keluarga kekal dengan pendirian dan yakin beliau tidak bersalah,” kata anaknya Nooryana.
Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib dari 12 kepada 6 tahun dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.