KUALA LUMPUR- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar sedia membuat bayaran penuh RM250,000 kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas kalah saman dikemukakan Menteri Besar Kedah itu.
Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah berkata, beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi semalam, yang mengeluarkan perintah bayaran ganti rugi berkenaan.
Bagaimanapun jelasnya, bayaran itu akan dibuat selepas selesai proses rayuan yang akan dikemukakan peguamnya di Mahkamah Rayuan dalam tempoh terdekat ini.
“Saya hormati keputusan mahkamah itu dan saya takkan menyatakan mahkamah zalim atau ‘langkah mayat saya dulu’. Saya tak salahkan hakim, peguam saya atau peguam Sanusi.
“Saya akan ikut proses perundangan dan Perlembagaan. Saya dah bincang dengan peguam dan mendapat nasihat untuk merayu maka saya akan teruskan dengan proses rayuan selepas ini,” lapor BH di Alor Setar.
Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata masih terdapat dua peringkat rayuan boleh dibuatnya iaitu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Katanya, beliau juga berharap semua pihak terutama penyokong bersabar sehingga semua proses selesai sebelum bayaran ganti rugi kepada Muhammad Sanusi dibuat pihaknya selepas itu.
“Kepada mereka (penyokong Sanusi), saya harap dapat bersabar. Saya akan tetap hormati kalau mahkamah pada akhirnya memutuskan saya perlu bayar kepada Sanusi.
“Kalau selepas rayuan ini mahkamah suruh bayar juga, saya takkan tangguhkan bayaran atau buat kenyataan ‘langkah mayat aku dulu’. Cumanya saya harap mereka bersabarlah sehingga proses rayuan,” katanya.
Mahkamah Tinggi semalam, memerintahkan Mahfuz membayar ganti rugi RM250,000 kepada Sanusi berhubung kenyataan fitnah yang dibuatnya di laman sosial Facebook pada 2020.
Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari memutuskan Mahfuz melakukan fitnah dan berniat jahat berhubung pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dibuat Syarikat Air Darul Aman (SADA), yang dikatakan untuk kegunaan peribadi Menteri Besar.