KUALA LUMPUR – Umno juga parti yang memperjuang Islam seperti termaktub dalam perlembagaannya, bukan hanya PAS.
Demikian penegasan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti, perlembagaan parti itu diperkemas dan ditambah baik dengan memasukkan elemen perjuangan Islam.
“Percayalah kalau mereka kata mereka parti Islam, saya nak sebut di sini, dalam Perlembagan Umno fasal 3, berbunyi Umno adalah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, Bumiputera, Orang Asli dan anak Sabah. Itu perjuangan Umno pada saat dan ketika ini.
“Kalau dulu Umno parti politik untuk kebangsaan Melayu, itu perlembagaan dahulu,” lapor Bernama ketika berucap di hadapan penduduk FELDA Cherol, sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Pada PRK Kemaman, Barisan Nasional (BN) mempertaruh bekas Panglima Angkatan Tentera Jen (B), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang akan berdepan pertandingan satu lawan satu dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember bagi hari mengundi untuk PRK Kemaman, yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15.