KUALA LUMPUR – Perjumpaan Perdana Menteri dan delegasi Malaysia bersama syarikat-syarikat gergasi teknologi
terkemuka Google, Enovix, Microsoft, TikTok dan TPG menghasilkan jumlah pelaburan asing yang besar.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memperincikan daripada pertemuan-pertemuan ini, Enovix telah menyatakan komitmen untuk membuat pelaburan langsung asing (FDI) baharu.
Selain itu katanya, Google, Microsoft dan TikTok komited untuk meningkatkan pelaburan langsung asing sedia ada di Malaysia, dengan nilai RM54.72 billion untuk tempoh 10 hingga 15 tahun.
“Manakala, jumlah komitmen pelaburan susulan daripada sesi pertemuan dan perbincangan semasa Misi Perdagangan dan
Pelaburan oleh MITI pada 6 hingga 13 November 2023 sebanyak RM8.3 bilion yang menjadikan jumlah keseluruhan komitmen pelaburan sebanyak RM63.02 bilion.
“Susulan Komitmen terhadap pelaburan di Malaysia seperti yang dinyatakan oleh syarikat-syarikat berkenaan, menurut mereka,adalah atas sebab faktor politik yang stabil dan dasar Malaysia yang jelas,” katanya di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan, komitmen pelaburan yang berjaya diperoleh ini adalah bukti keyakinan pelabur asing terhadap hala tuju dan dasar-dasar ekonomi yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan melalui Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Dalam hal yang berkaitan, beliau turut kongsikan tentang pelancaran Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia atau Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) oleh MITI pada 3 November 2023.
Kata Anwar ia bertujuan mempercepatkan pelbagai proses kelulusan termasuk memberi khidmat rundingan serta nasihat sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi untuk memudahcara perniagaan khususnya investor’s journey di pelbagai peringkat.
“Saya berharap menerusi IMFC ini, komitmen pelaburan oleh para pelabur akan dapat direalisasikan dengan secepat mungkin.
“Berdasarkan keadaan semasa, perkhidmatan rundingan serta memudahcara yang dilaksanakan secara fizikal dan bersemuka ini bakal memberi kesan serta impak yang positif, selain dapat meningkatkan keyakinan para pelabur dan pemain-pemain industri,” katanya.