KUALA LUMPUR- Kegagalan atau kelewatan melaksanakan reformasi sistem dan institusi dikhuatiri akan menormalisasi amalan rasuah yang akhirnya akan menghancurkan negara dan masa depan golongan muda.
Justeru Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa, kerajaan untuk segera melaksanakan reformasi sistem dan institusi terutama berkaitan pemusatan kuasa seperti sering dilaungkan sebelum menerajui pentadbiran negara.
Ahli Parlimen Muar itu berkata lagi, ia bagi mengelak daripada memberi mesej salah kepada rakyat terutama golongan muda.
Beliau juga bimbang reformasi berkenaan akan dilupakan sekiranya tiada desakan atau garis merah ditetapkan bagi pelaksanaan merealisasikan hasrat ke arah itu.
“Saya sendiri menyokong janji membanteras rasuah. Ketika menyertai kempen pilihan raya sebelum ini, setiap ucapan ada janji antirasuah dan akan memenjarakan pemimpin A, B atau C.
“Tidak pernah sekali pun dalam ucapan saya nyatakan akan penjarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya menegaskan perlu patuh kepada kedaulatan undang-undang.
“Namun, selepas pilihan raya, perubahannya amat drastik. (Kerajaan) tidak ditekan lagi dan majoritinya 148 ahli Parlimen, bukan seperti dua Perdana Menteri terdahulu yang majoritinya tiga hingga lima ahli Parlimen sahaja, terus menggugurkan 47 kes rasuah (dihadapi Ahmad Zahid),” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Sementara itu, Syed Saddiq turut mempersoal tindakan Peguam Negara menggugurkan pertuduhan rasuah dihadapi Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno.
Beliau berkata, tindakan itu dikhuatiri memberi mesej dan duluan (precedent) kurang tepat, terutama kepada golongan muda yang mahu membabitkan diri dalam arena politik negara.
“Bagaimana rakyat dan pelabur mahu percaya? Saya lebih risau bagaimana anak muda yang ingin menyertai politik. Hari ini apa ‘precedent’ (duluan) yang kita tinggalkan (kepada mereka).
“Precedent-nya ialah kamu boleh curi ratusan juta ringgit, lupakan bina hospital dan sekolah mahupun membela rakyat. Curilah sebanyak mungkin, bila ditangkap, didakwa selepas lima tahun, tak apa runding, guna kuasa dan selepas itu kerajaan di bawah pentadbiran kamu boleh menggugurkan kes terbabit.
“Apakah mesej yang kita mahu sampaikan kepada golongan muda di negara ini? Sebab itu saya rasa ungkapan tangan kiri lawan rasuah, tangan kanan bebaskan rasuah adalah tepat dan benar,” katanya lapor BH.