Sedarlah Umno ditolak, ini amaran terakhir – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – “Jika keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini bukan amaran akhir kepada soal survival parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak,” kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tegas beliau, di Selangor, setelah 15 tahun, Umno masih lagi ditolak.

“Ramai ahli-ahli Umno Selangor yang berkongsi kekecewaan dan kesedihan mereka dengan nasib Umno di Selangor.

“Dalam senario politik kini, strategi, ketrampilan dan daya tarikan parti menjadi penentu kejayaan atau kegagalan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tegas Tengku Zafrul, Umno bukan milik kelompok mana-mana sebaliknya Umno ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu, atas sebab itu Umno tidak boleh terlalu radikal.

Kata beliau, Umno perlu meraikan pandangan dan pandangan ini perlu diurus dengan baik agar Umno terus subur menjadi sebuah parti tempat orang Melayu berteduh.

“Hari ini hala tuju dan ideologi UMNO Selangor perlu jelas dan diterima ahli akar umbi, bukan semata-mata dilihat hanya ingin mengejar tampuk kuasa tetapi dalam masa yang sama tidak dapat memberi keyakinan kepada ahli di bawah dan juga rakyat.

“Atas dasar itu saya berharap kepimpinan parti perlu bangkit dan memperbetulkan keadaan parti yang bukan sekadar ingin mengejar kuasa jangka masa pendek tetapi usaha yang bersungguh untuk kembali diyakini rakyat dan juga akar umbi parti.

“Ini penting untuk masa hadapan dan survival parti terutamanya di Selangor.

“Umno Selangor juga perlu kembali mengenal pasti segmen yang perlu mereka dekati untuk diberi keutamaan dalam perjuangan Umno.

“Semua di dalam Umno, termasuk saya perlu muhasabah diri dan membina semula kekuatan parti supaya kita dapat kembali berdiri gagah tanpa bergantung kepada mana-mana parti,” kata Ketua Umno Bahagian Kota Raja itu lagi.

Dalam perkembangan sama, Tengku Zafrul juga merakam jutaan tahniah kepada semua pengundi, petugas, jentera dan calon dalam pesta demokrasi di enam negeri.

“Ternyata kematangan demokrasi di Malaysia kian subur dan suara rakyat kekal sebagai suara keramat menentukan hala tuju kepimpinan dalam negara dan di peringkat negeri.

“Sebagai seorang yang turun ke lapangan membantu calon BN dan PH khususnya di negeri Selangor, saya juga berterima kasih kepada pengundi Selangor kerana mengekalkan mandat parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menerajui Selangor Darul Ehsan untuk lima tahun lagi,” katanya.

Namun ujar Tengku Zafrul, keputusan induk ini tidak mampu menutup hakikat pedih bahawa prestasi Barisan Nasional amat lemah di Selangor. Dari 12 kerusi yang ditandingi BN, yang menang hanyalah dua – termasuk satu yang asalnya ialah kerusi DAP.

“Malah, selain satu kes unik Sungai Air Tawar yang lebih mencerminkan kehebatan calon, PRN Selangor semalam menyerlahkan seolah-olah semakin ramai pengundi Melayu di sesebuah kawasan, semakin susah Umno hendak menang.

“Hakikat ini harus diamati terutamanya oleh pemimpin Umno di Selangor,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat