Ok KUALA LUMPUR – Kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan yang berkuat kuasa esok dijangka pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per metrik tan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sangat menghargai khabar gembira yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas pengumuman kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa esok.
“Ini merupakan khabar gembira buat pesawah padi kerana dengan kenaikan ini pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per metrik tan. Terima kasih Perdana Menteri! ucap Mohamad pada Selasa.
Jelas Presiden Amanah itu, kenaikan subsidi itu membuktikan bahawa iltizam Kerajaan Perpaduan untuk membela nasib rakyat semenjak mula mentadbir Malaysia mulai penghujung tahun 2022 telah mula membuahkan hasil.
“Rakyat hari ini sudah dapat menikmati kestabilan dan kemakmuran di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri sebelum ini telah memberikan komitmen memperuntukkan RM3 bilion untuk membina infra di kawasan MADA bagi merealisasikan penanaman padi 5 musim dalam 2 tahun.
“Pengurusan saliran yang sistematik perlu ditambah baik bagi menjamin tanaman padi dapat memberikan hasil yang maksimum,” ujar Mohamad.



