PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji fasiliti dan kelancaran perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh dan Putrajaya.
Menurut Tun, seolah-olah beliau berada di negara maju.
“Pada hari ketiga raya saya dan isteri bersama kawan-kawan mencadang mencuba MRT dari Sungai Buloh ke Putrajaya.
“Staff MRT sambut baik cadangan kami. Mereka turut bersama sepanjang jalan. Ini memberi peluang kepada saya bertanya beberapa soalan berkenaan prestasi MRT ini.
“Umumnya saya dapati seolah-olah saya berada di negara maju. Perjalanannya amat baik. Demikian juga kemudahan yang disedia untuk pelanggan. Stesen juga cukup besar dan dilengkapi dengan lif dan eskalator.” tulis beliau ketika berkongsi pengalamannya menaiki perkhidmatan awam itu menerusi catatan Facebooknya.
Ujarnya, beliau percaya kemudahan rail ini akan disambut baik oleh rakyat jika kos yang amat tinggi tidak dipedulikan.
“Tahniah saya ucap kepada anggota pengurusan MRT Sungai Buloh / Putrajaya.” katanya lagi.-SUARATV